Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

UIAM Berjaya Lahirkan Graduan Berkualiti – Rektor

By 13 Julai 2018Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan dan Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya melahirkan graduan yang berkualiti dan cemerlang bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia.

Menurut Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin, sejak 35 tahun penubuhan universiti tersebut ramai graduannya telah berjaya menjawat jawatan tinggi di sesebuah negara atau pentadbiran kerajaan Malaysia.

“Terdapat graduan UIAM menduduki tampuk pemerintahan negara seperti di Maldives, Turki dan Bosnia, malah ada yang mengetuai bank-bank utama di negara mereka sendiri.

“Saya difahamkan lebih 30 orang alumni kami bertanding semasa pilihanraya umum (PRU14) yang lalu, kini dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri seperti Syed Saddid, Datuk Saifudin Abdullah dan Shamsul Iskandar Mohd Akin,” tegasnya dalam nada bangga.

Jelas Zaleha, kewujudan UIAM bukan sahaja untuk Malaysia tetapi meliputi seluruh dunia dan ianya akan diteruskan melalui gabungan tiga komponen utama iaitu pelajar, kakitangan dan pentadbir yang cemerlang.

a32b370a-81c3-4c6d-afbe-e58182e76b7c

Dr Awad Al-Thubaity (dua dari kanan) menyerahkan replika cek berjumlah USD300,000 sumbangan tajaan pelajar kepada Zaleha.

“Sejarah selama 35 tahun telah membuktikannya dan kami akan terus menyumbang melalui inovasi serta ilmu hasil kajian-kajian yang dijalankan,” katanya semasa sambutan Hari Kualiti yang berlangsung di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM, Kampus Gombak di sini hari ini.

Tambah beliau, di bawah pentadbiran Malaysia Baharu ini, UIAM akan diberi peruntukan yang bersesuaian dengan peranannya untuk dunia serta sasaran pelajar antarabangsa meningkat pada tahun 2030 daripada 22 peratus kepada 30 peratus (2020) dan 50 peratus (2030).

“Kami harap pelajar tempatan dapat bersaing dengan pelajar antarabangsa kerana ianya adalah rahsia kejayaan graduan pelajar UIAM. Mereka bersama dalam komuniti antarabangsa, menyebabkan mereka tidak rasa kekok menghadapi cabaran di negara sendiri,” katanya.

uiam

Peranan UIAM bukan hanya di Malaysia tetapi meliputi dunia – Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin.

Sementara itu, seramai 97 anugerah disampaikan kepada kakitangan yang terpilih terdiri daripada pelbagai gred jawatan yang dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu Anugerah Akademik, Anugerah Agensi, Anugerah Penyelidik, Anugerah Pentadbir, Anugerah Sukan dan Anugerah Budi.

Prof Dr Sidek Baba, 72, pula dinobatkan sebagai penerima anugerah Ikon UIAM dan sekaligus pihak universiti mencalonkan beliau dalam Anugerah Akademik Negara (AAN) tahun ini.

Dalam majlis yang sama, UIAM turut menerima sumbangan tajaan pelajar yang terpilih berjumlah USD300,000 yang disampaikan oleh Pengarah Tajaan IQRAA, Dr Awad Al-Thubaity.

IQRAA merupakan sebuah badan yang menguruskan hal ehwal khidmat komuniti dan kemanusiaan yang bernaung di bawah Dallah Albaraka Holding Company (DBHC), berpengkalan di Jeddah, Arab Saudi.

-NAZ

Tinggalkan komen anda