Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

100 Kanak-Kanak Tunaikan Haji di Johor

By 13 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan & Foto oleh Hamisah binti Sumar ( Johor Bahru )

 

ISKANDAR PUTERI, 13 Ogos  (Malaysiaaktif) – Seramai 100 kanak-kanak tadika As-Sofea Negeri Johor telah  menyertai program Jemaah Haji Cilik bagi merasai pengalaman suasana sebenar mengerjakan ibadah haji yang diadakan di Masjid Nusajaya, Iskandar Puteri.

Penyelaras kursus kokurikulum Umrah dan Haji, Maalim Mamat, berkata program yang diadakan kelmarin, bertujuan memberi pendedahan mengenai suasana sebelum dan ketika menunaikan ibadah haji bagi memberi pengetahuan dan menanam minat kanak-kanak untuk menunaikan ibadah rukun Islam kelima pada usia muda.

Kanak-kanak tadika negeri Johor diberi pendedahan mengenai umrah dan haji oleh sukarelawan yang bertugas.

Kanak-kanak tadika negeri Johor diberi pendedahan mengenai umrah dan haji oleh sukarelawan yang bertugas.

Beliau berkata, program ini mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

“ Program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi  itu memperkenalkan para peserta dengan pakaian ihram sekali gus menghayati proses mengerjakan ibadah haji. Aktiviti yang berteraskan fardu ain ini termasuk menjalankan ibadah tawaf, saie, tahallul dan melontar jamrah,” katanya.

Sementara itu Pengarah Program, Azizan Mamat berkata penganjuran program ini dapat meningkatkan lagi kemahiran insaniah seperti sifat kepimpinan dan kemahiran komunikasi dalam diri kanak-kanak yang terlibat.

Menurutnya,  program ini mendapat sambutan baik daripada ibu bapa dan rata-ratanya memberi maklum balas yang sangat positif.

Kanak - kanak sedang mengikuti cara - cara menunaikan umrah dan haji dibantu oleh sukarelawan.

Kanak – kanak sedang mengikuti cara – cara menunaikan umrah dan haji dibantu oleh sukarelawan.

Seramai 18 orang guru di Tadika As-Sofea telah mengambil inisiatif bagi membantu kanak-kanak berusia seawal lima tahun dan enam tahun bagi memahami dan mempelajari cara melaksanakan ibadah haji menerusi pendidikan secara tidak formal.

Penglibatan guru-guru tadika ini sebagai sukarelawan bagi menjalankan tugas-tugas fasilitator dan mutawwif yang dapat membimbing kanak-kanak tadika yang menyertai program tersebut.

Selain itu, mereka juga terlibat dalam membantu melancarkan urusan pendaftaran, menjaga setiap “check point” dan lain-lain tugas yang diperlukan bagi memastikan kelancaran program.

  • AA/MRR

Tinggalkan komen anda