Skip to main content

 

 Laporan dan foto : Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 502 pengamal media berdaftar daripada 41 agensi media terdiri daripada media tempatan, antarabangsa serta krew teknikal bersedia untuk membuat liputan sempena Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Sambutan kali ini dianggap luar biasa kerana turut meraikan Malaysia baharu setelah pentadbiran negara diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Wan Saidatul Shafina memberikan penerangan kepada petugas media

Wan Saidatul Shafina memberikan penerangan kepada petugas media.

Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia selaku Jawatankuasa Media dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertanggungjawab dalam menyediakan pusat media bagi kemudahan pengamal media membuat liputan pada sambutan kali ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia, Wan Saidatul Shafina Mohd Amin, menjelaskan agensi-agensi media ini terlibat dalam menyiarkan siaran langsung, lintas langsung dan juga liputan berita.

“Pusat Media ini beroperasi selama tiga hari bermula 28, 29 dan 31 Ogos untuk kemudahan para media membuat liputan acara Perbarisan dan Perarakkan Hari Kebangsaan serta kerja dan juga perkongsian bahan media,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Media yang beroperasi di Auditoruim Cempakasari, Perbadanan Putrajaya, di sini hari ini.

Antara kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan hari kebangsaan kali ini

Antara kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan hari kebangsaan kali ini.

Sementara itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman amat berpuas hati dengan raptai penuh yang diadakan pada sebelah pagi tadi di Dataran Putrajaya.

“Semua jawatankuasa telah memainkan peranan masing-masing dengan baik dalam melaksanakan tugas-tugas mereka dalam menjayakan sambutan kali ini,” katanya yang ditemui setelah selesai sesi raptai pagi tadi.

Ibrahim turut menyeru orang ramai untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya Jumaat ini.

-SH

Tinggalkan komen anda