Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

‘Sayangi Malaysiaku’ Elemen Utama Rakyat Bersatu

By 16 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Noorshazana Shaadan (Tampin)

TAMPIN, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Sayangi Malaysiaku memberikan pengertian yang cukup bermakna bagi rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum, bersilang budaya dan agama.

Menurut Ahli Parlimen Tampin, Dr. Hasan Baharom, semangat ini merupakan elemen utama agar rakyat terus bersatu padu dan saling merapatkan semangat kekitaan dan muhibbah dalam kehidupan negara berdaulat.

“Laungan keramat ‘Merdeka’ yang dilaungkan sebanyak tujuh kali oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tarikh yang cukup bersejarah ini menjadi simbolik kepada kebebasan tanah air kita daripada belenggu penjajahan.

“Hari Kebangsaan yang kita nikmati dan kecapi pada hari ini adalah hasil usaha dan semangat kental generasi terdahulu yang bertungkus lumus untuk tanah air,” katanya ketika merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2018, di sini semalam.

Hasan turut mengingatkan penjawat awam agar mempunyai integriti yang tinggi dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Hasan (tengah) melepaskan konvoi KMJG 2018, di sini semalam.

Hasan (tengah) melepaskan konvoi KMJG 2018, di sini semalam.

“Dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, kita perlu bersatu hati selaras dengan tema hari kebangsaan kali ini iaitu “Sayangi Malaysiaku” agar hasil kerja yang ditunjukkan adalah terbaik serta dapat memuaskan pelanggan seterusnya menjaga nama dan imej jabatan dan kerajaan.

“Semua warga kerja sama ada jabatan mahupun agensi di daerah, semua perlu mengutamakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti di samping menerapkan budaya kerja berpasukan antara satu sama lain,” katanya lagi.

Sementara itu, Iffah Syazwani Mohd Zahir, 22, berkata tema Sayangi Malaysiaku perlu diterapkan dalam diri kerana semangat patriotisme semakin berkurang dalam diri belia sepertinya.

“Saya sangat teruja ketika bersama-sama dengan rakan menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaan ke-61, ‘Kita Punya Malaysia’”, katanya pelajar sebuah universiti awam ini ketika ditemui.

Turut diadakan sempena KMJG 2018 ini, kempen menderma darah, pameran daripada agensi-agensi, pertandingan mewarna serta permainan dalam dewan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Sabarudin Yeop Hamza dan Pegawai Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin.

-SH

Tinggalkan komen anda