
Laporan : Khairun Nadiah dan Nurul Azreen
Foto : Foto KMJG2018
SEREMBAN, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Hujan lebat yang membasahi Melaka pagi tadi tidak melemahkan semangat ahli-ahli konvoi untuk meneruskan perjalanan dari Melaka ke Negeri Sembilan. Meskipun cuaca tersebut tidak diduga, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 (KMJG2018) terus berlangsung seperti biasa.
Acara pelepasan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Seri Negeri. Hujan lebat pagi tadi tidak menghentikan acara ‘flag off’ dan KMJG2018 telah terus menuju ke hentian pertama di Dewan MBMB Ayer Keroh. Pengarah Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Malaysia merangkap Ketua Konvoi, Dr. Amerjit Singh a/l S. Bhag Singh mengingatkan semua hadirin tentang kepentingan menyayangi negara dan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Beliau turut mengajak anak-anak muda untuk memeriahkan media sosial dengan penggunaan hashtag #sayangiMalaysiaku sebagai salah satu tanda cintakan negara.
Konvoi KMJG2018 juga sempat singgah ke Mydin Mall Pulau Sebang, Tampin dan mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang awam.
Konvoi KMJG2018 kemudiannya telah bergerak ke Kompleks Arena Dataran Tampin dan disambut oleh ahli parlimen Tampin, Dr. Hassan Baharon.
Hentian terakhir konvoi untuk hari ke-11 adalah di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah. Sedikit kelainan di kompleks tersebut apabila Encik M. Karunakaran a/l Muthiya telah mendeklamasikan sebuah sajak yang sarat dengan mesej patriotisme.
Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Sabarudin Yeop Hamza kemudiannya mengingatkan semua hadirin bahawa Jalur Gemilang merupakan lambang maruah negara dan patut dikibarkan dengan bangga.
“Jika kita mahu lihat masa depan sesebuah negara, kita boleh lihat anak-anak muda kita kerana mereka lah yang akan memacu negara pada masa hadapan. Oleh itu amat penting bagi mereka ini untuk menghayati erti dan maksud kemerdekaan dan Jalur Gemilang,” ujarnya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Sambutan Bulan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat daerah Kuala Pilah.