
Laporan oleh: Asmidar Zainol/ Foto: Vicky Matanjang (Sabah)
KOTA KINABALU, 22 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 15 peserta Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2018 diraikan dalam Majlis Makan Malam Sekalung Budi pada Jumaat.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, majlis berkenaan adalah untuk meraikan semua peserta pidato yang merupakan juara di peringkat negeri masing-masing.
“Esok (Sabtu) para peserta akan mara ke peringkat separuh akhir dan hanya lima peserta yang layak meneruskan pertarungan ke peringkat akhir pada 23 September ini.
“Pada tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku’ telah diangkat sebagai tema pertandingan bagi menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara selain bertujuan untuk menyuburkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat dan memperkasakan lagi penggunaan Bahasa Kebangsaan.
“Bukan sekadar menawarkan hadiah yang menarik, pertandingan ini juga akan menjadi suntikan kesedaran, meningkatkan pengetahuan dan kefahaman para peserta terhadap dasar-dasar negara dan secara tidak langsung akan dapat dihayati dan dibudayakan oleh para peserta serta mereka yang hadir.
“JaPen juga berharap mereka ini akan dapat membantu menjadi penghubung Jabatan Penerangan kepada masyarakat dalam usahameningkatkan semangat cintakan negara dan akan turut menjadi Rakan Strategik JaPen di peringkat negeri atau persekutuan,”ujarnya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), Datuk Mohd Sukari Abd Hamid.
Pertandingan berkenaan menawarkan hadiah berupa wang tunai RM3,000 kepada pemenang tempat pertama; tempat ke-dua, RM2,000 dan tempat ke-tiga, RM1,000 selain masing-masing akan membawa pulang piala iringan dan sijil penghargaan.
Turut hadir ialah, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik)Jabatan Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Penerangan Sabah,Norzawiyah Bulka dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Asmiah Ajmain.
-FB