Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

JAKIM Tawar Khidmat Pakar Kaunseling

By 22 September 2018Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan dan foto: Mohd Anuar Ibrahim / Shahfuri Saidan (Kuala Lumpur)

PUTRAJAYA, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Kewujudan Pusat Khidmat Keluarga,Sosial dan Komuniti (PKKSK) memberi manfaat kepada setiap golongan masyarakat termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Beliau berkata inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menawarkan khidmat pakar kaunseling menerusi PKKSK membantu meningkatkan kualiti hidup individu, keluarga dan komuniti.

Menurutnya, selain mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara agensi secara holistik, PKKSK juga berperanan sebagai pusat rujukan kepada masyarakat Islam amnya.

“Pada peringkat permulaan, PKKSK beroperasi di Aras Bawah, Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan jumlah pusat ini akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya sewaktu merasmikan majlis Pelancaran PKKSK di Dewan Sheikh Daud al-Fathoni, Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kelmarin.

Dalam pada itu, Fuziah menyeru ahli masyarakat yang bermasalah, tanpa mengira bangsa dan agama untuk hadir di KSKCareCentre @MTMZA mulai jam 11.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari setiap hari.

Pusat rujukan ini memberi perkhidmatan secara percuma oleh pegawai yang profesional dan bertauliah. JAKIM juga menyediakan beberapa modul sebagai asas rujukan kepada pegawai khidmat nasihatnya yang bertugas secara berjadual.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Haji Paimuzi Yahya dan Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Tuan Haji Roslan Said.

-HS

Tinggalkan komen anda