
Laporan oleh: Idris Sani Saberun/Foto: Johnny George Kimlon
Kota Kinabalu, 8 Sept (Malaysiaaktif)- Kerajaan negeri melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat memberi jaminan akan terus mendokong dan melaksanakan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2019.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, DWN dan PTPW digubal berteraskan Perlembagaan Persekutuan agar menjadi panduan dan hala tuju dalam merangka dasar dan perancangan program-program pembangunan wanita.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan dan pandangan untuk tujuan penembahbaikan serta kemajuan wanita keseluruhannya.
“Antara matlamat DWN ialah menyediakan persekitaran yang bersesuaian dengan keperluan wanita bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita meliputi aspek fizikal, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, psikologi dan kerohanian.
“Saya yakin dan percaya perancangan pembangunan wanita di Malaysia melalui Kementerian di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri akan memperlihatkan transformasi bagi mengarus perdanakan pembangunan wanita dan mengintegrasikan wanita dalam pembangunan negara secara holistik,”katanya pada Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat Negeri Sabah 2018.
Jabatan Hal Ehwal Wanita bersama dengan Majlis Penasihat Wanita Sabah telah menyiapkan Pelan Induk Pembangunan Wanita Sabah 2018-2022 sebagai panduan dalam merancang pembangunan wanita dalam tempoh lima tahun, tambah beliau.
Shafie berharap pelan berkenaan akan menjadi sumber rujukan kepada semua pihak dalam melaksanakan program yang boleh memaju dan memperkasakan golongan wanita di negeri ini.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew, disalah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan; Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob serta Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Pengerusi Penganjur Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat Negeri Sabah 2018, Norazlinah Arif.