
Laporan oleh : Imran dan Rose Rasidi
Foto Oleh : Unit Foto Jabatan Penerangan Malaysia
LANGKAWI, 9 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 21 orang pengamal media (media cetak, elektronik dan media online) daripada 15 agensi seluruh Malaysia (semenanjung, sabah dan sarawak) tiba di Langkawi semalam untuk menyertai program Kembara Media Langkawi 2018 yang diadakan mulai 8 hingga 11 September.
Program ini merupakan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah, G. Vene Ganaison, “program ini merupakan program tahunan Jabatan Penerangan dan kembara kali ini merupakan penganjuran kali ke-13.
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk memasarkan maklumat mengenai inisiatif dan kejayaan kerajaan dalam pelaksanaan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” ujarnya lagi.
“Melalui program Kembara Media ini, ianya juga merupakan platform kepada kerajaan negeri Kedah untuk menjelaskan mengenai isu-isu semasa kepada media bagi memastikan penyaluran maklumat yang tepat, selain memperkukuhkan jaringan komunikasi strategik dalam aspek perkongsian dan pemasaran dengan agensi media,” tambah beliau.
Program Kembara Media yang berlangsung selama empat hari ini dipadatkan dengan pengisian aktiviti dan lawatan menerusi beberapa skop seperti pembangunan (Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi), pelancongan (Crocodile Adventureland Langkawi, Dash Travel Resort, Darulaman Sanctuary, NAAM Paradise 101, Langkawi SkyCab, Galeria Perdana dan Pantai Cenang), sosio-budaya (Kompleks Kraf Langkawi) dan skop masyarakat (Kembara Merdeka Jalur Gemilang Extra melalui Kenduri Kampung di Sekolah Kebangsaan Kuala Teriang).
Pengamal media juga turut diberi pencerahan berkaitan tempat-tempat menarik yang terdapat di Pulau Langkawi disamping mempromosikan keunikan Pulau Langkawi sebagai Geoforest Park.
Program Kembara Media adalah di bawah naungan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, selaku penasihat program yang turut disertai oleh Pengarah Penerangan Negeri Kedah, Nasrudin H. Mahmud.