
Laporan oleh: Idris Sani Saberun/Foto: Johnny George Kimlon
Kota Kinabalu, 8 Sept (Malaysiaaktif) – Lapan anugerah diberikan kepada wanita cemerlang dalam bidang masing-masing bersempena Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat Negeri Sabah 2018 pada Jumaat malam.
Tokoh Wanita Sabah 2018 dianugerahkan kepada Pengerusi Sedcovest Holding Sdn Bhd yang juga mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asnimar Sukardi.
Datuk Asnimar menerima Trofi, wang tunai 10 ribu ringgit dan sijil Anugerah Tokoh Wanita Sabah 2018 berdasarkan sumbangan aktif beliau dalam memimpin pertubuhan bukan kerajaan antaranya menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (2005-2010), Pengerusi Majlis Perundangan Belia Negeri Sabah (2012-2014) serta menjadi Ahli Lembaga Pelawat Rumah Anak Yatim Tambunan dan beberapa NGO yang lain hingga kini.
Penerima Anugerah Ushawan Emas Kementerian Belia dan Sukan (2015) yang juga anak jati Keningau, Mary Jim dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Wanita 2018 diatas sumbangan dan penglibatan beliau dalam mengangkat hasi seni kraf luar bandar untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Anugerah Ikon Wanita Harapan, Katerine Chong Suk Mee menerima Trofi, wang tunai RM5000 dan sijil penghargaan daripada Christina.
Aktivis muda sukarelawan yang juga seorang guru muzik berusia 27 tahun, Katerine Chong Suk Mee menerima Anugerah Ikon Wanita Harapan diatas sumbangan beliau dalam menjayakan beberapa misi komuniti dan kesukarelawan di luar bandar.
Anugerah Budayawan Wanita Cemerlang diberikan kepada mantan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, Datuk Dr Zaiton Ajamain di atas sumbangan beliau dalam mengangkat dan memartabatkan karya-karya sastera negeri.
Seorang suri rumah sepenuh masa, Dayang Hajiah Awang Abas (77 Tahun) yang berasal dari Kampung Benoni Papar telah terpilih sebagai penerima Anugerah Ibu Mitahli 2018 di atas kecekalan dan kejayaan beliau dalam mendidik sembilan orang anak beliau hingga kesemuanya berjaya mendapat pendidikan tinggi di universiti tempatan dan luar negara dan kini kesemua anak-anak beliau berkhidmat diperingkat pengurusan kerajaan negeri dan persekutuan.
Anugerah Ushawan Wanita Cemerlang dinobatkan kepada seorang ushawan kraf terkenal Sabah iaitu Jamilah Abdullah di atas kecekalan dan keberanian beliau dalam mengharungi liku-liku perniagaan sehingga berjaya mempunyai 11 buah cawangan perabot di atas jenama beliau.
Pengusaha makanan yang juga penerima Anugerah Peladang Jaya Wanita 2017, Sariyaman Sabur berasal dari Kunak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ushawan Wanita Harapan di atas kecemerlangan beliau dalam keushawanan industri pemakanan Sabah.
Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) Negeri Sabah menerima Anugerah Persatuan Wanita Cemerlang 2018 di atas sumbangan dalam memupuk dan mendidik golongan muda berlandaskan Al-Quran dan Sunnah melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, sesi ceramah dan seminar yang diadakan bagi membantu menangani gejala sosial terutama dikawasan pedalaman Sabah.
-FB