Skip to main content
HomeLabuan

Cadangan Jambatan Labuan-Menumbok Masih Diteruskan: Khalid

By 15 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Mohd Faizal Mansor / Jeffrey Nian

LABUAN, 15 Sep (MalaysiaAktif) – Kerajaan Persekutuan masih meneruskan rancangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok, namun pelaksanaannya bukan dalam tempoh masa terdekat ini disebabkan keadaan ekonomi semasa yang tidak mengizinkan.

“Menerusi ucapan saya di Parlimen tempoh hari, hanya kajian terhadap pembinaan jambatan tersebut sahaja yang dibatalkan dan bukannya jambatan”, ujar Menteri Wilayah Persekutuan, Haji Khalid Abdul Samad pada majlis sidang media ketika menaiki Feri Galaxy bagi sesi tinjauan dan merasai pengalaman menaiki feri tersebut dari Labuan ke Menumbok pagi tadi.

“Ini kerana kos kajian ke atas pembinaan jambatan tersebut yang dianggarkan RM15 juta yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu adalah tinggi dan tidak munasabah”, tegasnya.

Khalid (kanan sekali) dan rombongan semasa sesi tinjauan di atas Feri Galaxy.

Khalid (kanan sekali) dan rombongan semasa sesi tinjauan di atas Feri Galaxy.

Justeru kerajaan hari ini akan meneliti rancangan pembinaan jambatan itu melalui satu kajian baharu yang mana sebut harga kajian tersebut akan dibuka di mana kosnya tidak membebankan kerajaan, kata beliau.

“Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab membuka sebut harga baharu kajian tersebut, yang mana ia akan memakan masa untuk melasanakannya, justeru dalam tempoh tersebut pihak kementeriannya akan meneliti dan mengambil usaha untuk memperbaiki kemudahan sedia ada bagi memastikan warga Labuan akan terus mengecapi pembangunan”, kata Khalid lagi.

Khalid menambah lagi, walaupun telah adanya kajian pelaksanaan jambatan tersebut dibuat, namun ianya sudah lama iaitu lebih daripada 10 tahun dan tidak relevan dengan suasana kini yang memerlukan kajian semasa dibuat dengan mengambil kira suasana ekonomi dan keadaan permukaan laut semasa.

Khalid sempat melawat Pulau Papan

Khalid sempat melawat Pulau Papan

Khalid juga pada sesi tinjauan tersebut sempat bertemu dengan para pengguna feri tersebut bagi bertanyakan pendapat dan permasalahan mereka selain turut melawat terminal feri Menumbok dan melawat Pulau Papan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Azhar Ahmad.

EM

Tinggalkan komen anda