Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Pelajar FKAL UMSKAL Raih RM3,312 Demi Kebajikan Kucing Terbiar

By 3 Julai 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/ Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL)

LABUAN, 3 Julai (MalaysiaAktif) – Sekumpulan pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMSKAL) berjaya mengumpul dana sebanyak RM3,312 dalam Projek SULAM Happy Tails: Feed, Spay, Neuter and Adopt melalui platform KITAFUND.

Menurut Penyelaras Projek, Dr. Suzillah Sidek program yang dilaksanakan di bawah kursus GT30203 Kewangan Korporat Antarabangsa itu berjaya melepasi sasaran pungutan dana iaitu sebanyak RM3,125.

“Dana yang berjaya dikumpulkan digunakan bagi membiayai kos pemandulan (spay dan neuter), vaksinasi, rawatan asas, makanan, pengangkutan serta penjagaan sementara bagi kucing-kucing terbiar sebelum ditempatkan di pusat perlindungan atau diserahkan kepada keluarga angkat.

“Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Labuan dan NGO We Love Labuan Cats & Dogs yang banyak membantu dalam aspek penyelamatan, rawatan, penjagaan dan pengambilan anak angkat kucing terbiar,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Beliau berkata melalui projek berkenaan pelajar bukan sahaja mengaplikasikan ilmu kewangan korporat menerusi kempen crowdfunding, malah memupuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan tanggungjawab sosial.

“Program ini membuktikan bahawa kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat mampu memberikan impak positif kepada kebajikan haiwan serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat),” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda