Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Man Raja Lawak Ceriakan Peserta Kem Aspirasi

By 26 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto: Mohd Zaid Awang (Selangor)

KUALA LANGAT, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Kehadiran Man Raja Lawak nyata menceriakan peserta Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku, anjuran Jabatan Penerangan Selangor di Kem El-Azzhar, Morib yang diadakan sejak 24 September lalu.

Man Raja Lawak (tengah) ketika mengendalikan sesi Bersama Ikon.

Man Raja Lawak (tengah) ketika mengendalikan sesi Bersama Ikon.

Man atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Kassim berkongsi pengalamannya sambil diselang seli dengan lawak bersahaja yang mencuit hati 48 peserta di samping menyelitkan unsur nasihat serta motivasi.

Beliau merupakan juara Raja Lawak musim kelima anjuran sebuah stesen televisyen menasihatkan peserta program tersebut agar sentiasa mencabar diri untuk melakukan sesuatu sekiranya mempunyai bakat atau minat tertentu.

Aksi peserta program Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku ketika melaksanakan salah satu aktiviti LDK.

Aksi peserta program Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku ketika melaksanakan salah satu aktiviti LDK.

“Di samping mengejar cita-cita, adik-adik juga boleh menonjolkan bakat yang ada dalam diri kerana ia mungkin boleh menambah pendapatan pada masa hadapan.

“Jangan harapkan imbuhan atau kemenangan jika kita melakukan sesuatu, yang penting perlu ada ilmu walaupun sebagai pelawak,” katanya.

Sebelum mengakhiri sesi Bersama Ikon itu, beliau menyambut baik program yang dilaksanakan untuk pelajar kerana dapat mengesan kelemahan dan kelebihan yang ada dalam diri peserta.

Norbaya Jamaludin (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pelajar salah seorang terbaik Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku.

Norbaya Jamaludin (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pelajar salah seorang terbaik Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku.

“Hidup kita harus berjalan bukannya berlari kerana hidup ini satu perjalanan, bukannya satu pelarian,” katanya melontarkan kata-kata hikmat kepada pelajar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Norbaya Jamaludin, menyatakan matlamat program yang berlangsung tiga hari itu untuk memupuk semangat toleransi antara kaum melalui aktiviti-aktivitinya.

“Ilmu yang diperoleh melalui aktiviti tersebut akan menjadi panduan hidup berguna untuk generasi muda pada masa hadapan bagi membentuk jati diri dengan menanamkan semangat berpasukan.

Aktiviti lasak yang dilaksanakan program Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku.

Aktiviti lasak yang dilaksanakan program Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku.

“Kita juga mahu mewujudkan persefahaman dan menghormati di kalangan rakyat Malaysia yang merupakan unsur penting telah termaktub dalam Rukun Negara yang membawa keamanan di negara ini,” jelasnya.

Norbaya turut berpesan kepada peserta supaya berhati-hati menggunakan teknologi dan media sosial agar tidak timbul perbuatan yang melanggar undang-undang seperti menghasut dan sebagainya.

Peserta Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku dibimbing fasilitator ketika melaksanakan modul LDK.

Peserta Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku dibimbing fasilitator ketika melaksanakan modul LDK.

“Saya mahu pelajar berfikir dan merujuk pihak tertentu mendapatkan kesahihan terlebih dahulu sebelum berkongsi sebarang maklumat yang diperolehi di media sosial,” katanya.

Program Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah di Selangor melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti seperti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), pembinaan karater dan berpasukan serta aktiviti lasak.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda