Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

China Labur RM2 Billion, Tawar 3 Ribu Pekerjaan Kepada Sabah

By 28 September 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol/ Foto: Johnny Kimlon(Sabah)

Kota Kinabalu, 27 Sept (Malaysiaaktif) – China berminat melabur RM2 bilion di Sabah dengan menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pelaburan berkenaan merupakan yang kedua terbesar sejak kerajaan baharu ditubuhkan.

“Hubungan Malaysia dan China terutama Sabah merupakan hubungan yang amat penting dan kukuh serta memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Laing Caide (kiri) menyambut ketibaan Tun Juhar (kanan).

Laing Caide (kiri) menyambut ketibaan Tun Juhar (kanan).

“Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed baru-baru juga menekankan hubungan baik kedua-dua negara amat penting bukan hanya kerana kehadiran pelancong yang datang ke sini, tetapi kehadiran mereka turut membantu komuniti perniagaan dalam negara.

“Saya difahamkan oleh Konsul Jeneral China ke Sabah, Laing Caide seramai 500 ribu pelancong dari negara itu telah mengunjungi Sabah walaupun berlaku kemalangan-kemalangan yang di luar jangka.

“Sabah juga perlu belajar dengan China dan berkongsi bagaimana sebuah negara komunis kini telah bertukar menjadi pesaing dengan negara kapitalisme.

Tun Juhar (tengah) dan Toh Puan Norlidah (tiga dari kanan) memotong kek bersama tetamu kehormat pada majlis tersebut.

Tun Juhar (tengah) dan Toh Puan Norlidah (tiga dari kanan) memotong kek bersama tetamu kehormat pada majlis tersebut.

“Sepanjang 69 tahun penubuhan Republik China, negara berkenaan telah mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan dan rakyat di negara ini perlu belajar bagaimana untuk membangun bersaing dengan negara-negara kuasa ekonomi yang lain,”ujarnya.

Mohd Shafie juga berharap kehadiran pelancong di negara ini akan dapat menjana ekonomi penduduk setempat selain dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong.

“Sabah kaya dengan makanan dan produk-produk pelancongan serta budaya tradisi yang tidak ada di negeri-negeri lain di Malaysia.

“Pada hujung minggu ini, kita akan menganjurkan Perayaan Kuih Bulan di Jalan Gaya yang bakal dihadiri oleh ribuan pengunjung.

“Kerajaan tempatan amat menyokong program-program ini bukan setakat memberi galakan, malah memberi bantuan kewangan untuk memastikan kita tidak terpisah dengan perbezaan agama dan kaum.

“Jadi, anda dapat menyaksikan bagaimana kami memelihara budaya masyarakat Cina di Sabah,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Penubuhan Republik China di Lintasan Deasokan, pada Rabu malam.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Datuk Jaujan Sambakong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

 

 

-FB

Tinggalkan komen anda