Skip to main content
HomeTerengganu

Perarakan Jalur Gemilang Bot Fiber, Simbolik Jiwa Merdeka Warga Nelayan

By 3 September 2018Tiada komen1 minit bacaan

Laporan / foto oleh: Mahadi Mustafa / Zulkifli Othman

DUNGUN, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Perarakan 30 bot fiber menyusuri Sungai Dungun sempena sambutan Hari Kebangsaan anjuran Pejabat Penerangan Daerah Dungun simbolik warga nelayan menzahirkan semangat nasionalisme dan cintakan negara.

Simbolik sambutan bagi penduduk setempat terutamanya warga nelayan ini mampu menarik minat warga setempat untuk sama-sama hadir menyaksikan perarakan yang julung-julung kali diadakan di sini.

Pemandangan perarakan Jalur Gemilang Bot Fiber

Pemandangan perarakan Jalur Gemilang Bot Fiber

Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Che Mat Roplan Salim berkata, kejayaan menganjurkan Program Merdeka@Komuniti-Perarakan Jalur Gemilang Bot Fiber adalah bukti kepada kesungguhan dan kecekalan golongan nelayan yang secara sukarela menyertainya melalui semangat Merdeka.

Tambahnya, “ini juga boleh dijadikan dorongan kepada rakyat Malaysia lain untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja mereka berada. Kelainan yang ditonjolkan melalui perarakan bot fiber tidak seperti kebiasaan berkonvoi menggunakan motosikal ataupun kereta.”

“Dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku” golongan nelayan membuktikan mereka juga mampu untuk mengukir sejarah tersendiri,” ujar beliau.

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Dungun ke Program Merdeka@Komuniti

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Dungun ke Program Merdeka@Komuniti

Mohd Armi Hitam selaku wakil Pemandu Bot Fiber, sangat teruja menyertai perarakan yang julung-julung kali diadakan ini. Beliau turut bersama-sama keluarga menyertainya dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan berharap program sebegini dapat diteruskan lagi untuk tahun-tahun akan datang.

Sepanjang program ini, semua bot berarak dari Pengkalan Bot Balik Bukit sehingga ke Jambatan Lama Dungun bermula 5.30 petang sebelum berpatah balik ke destinasi kira-kira setengah jam kemudian.

EM

Tinggalkan komen anda