Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

MYTV Perlu Bagi Penjelasan Gangguan Siaran – Gobind Singh

By 31 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Malaysiaaktif) – MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) perlu mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjelaskan kedudukan sebenar syarikat itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata penting untuk MYTV selaku pembekal perkhidmatan siaran kepada masyarakat untuk mengambil serius aduan gangguan siaran yang dibuat dan memberikan maklumat balas yang berkesan.

“Perlu jelaskan kedudukan mereka dengan cepat, nyatakan masalah yang berlaku dan langkah-langkah yang akan diambil untuk mengatasinya,” kata beliau dalam catatan di laman Twitter pagi ini.

Gobind berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyediakan laporan berkenaan masalah MYTV dan menyerahkan kepadanya secepat mungkin.

Beliau berkata demikian dalam responsnya kepada pertanyaan seorang pengguna Twitter @niniey_rashid yang ingin tahu sama ada MYTV hendak dihapuskan, dan mendakwa siaran saluran itu telah terganggu selama seminggu di Kelantan. @ssafuan01 pula ingin tahu berapa lama lagi gangguan siaran MYTV akan berterusan.

Pada 11 Oktober lepas, SKMM dalam satu kenyataan menjelaskan perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) yang mengalami gangguan pada tarikh itu adalah disebabkan beberapa isu komersial yang tidak dapat diselesaikan antara MYTV Broadcasting dan vendornya.

Bagaimanapun, menurut SKMM penonton masih boleh menonton perkhidmatan televisyen percuma itu melalui platform analog semasa.

Menjawab soalan @DonZukri mengenai monopoli MYTV, Gobind berkata perkara itu kini dalam perhatian kementerian.

MYTV dilantik oleh kerajaan untuk membangun dan mengendalikan infrastruktur serta rangkaian perkhidmatan DTT di Malaysia bagi membolehkan sistem penyiaran negara beralih daripada analog kepada digital.

Sementara itu, laman web MYTV mengesahkan siaran DTT mengalami gangguan di Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak dan usaha sedang diambil untuk mengembalikan siaran dalam tempoh terdekat. – Bernama

Tinggalkan komen anda