Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Kaedah Baru Bantu Pembeli Rumah Di Selangor – Amirudin Shari

By 22 November 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor,  Amirudin Shari, memaklumkan kerajaan negeri sedang merangka satu kaedah baru untuk membantu memudahkan pembelian rumah di negeri tersebut.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pemaju perumahan dan agensi kewangan memberikan kemudahan membeli rumah.

“Pembeli akan diberikan kemudahan membeli rumah tetapi dengan satu kaedah serta tempoh tertentu dan akhirnya mereka akan memiliki rumah dengan bantuan kewangan,” katanya.

Menurut Amirudin, mutakhir ini bukan jumlah rumah tidak mencukupi menjadi isu tetapi adalah masalah pembiayaan kewangan.

Amirudin (baju putih) gimik pecah tanah pembangunan Pangsapuri Kos Sederhana di Lot 69831, Batu Caves semalam.

Amirudin (baju putih) gimik pecah tanah pembangunan Pangsapuri Kos Sederhana di Lot 69831, Batu Caves semalam.

“Kita akan membantu mereka (pembeli) mendapatkan bayaran 10 peratus pendahuluan itu,” katanya juga juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua.

Menurut beliau, perkara tersebut akan diumumkan secara terperinci semasa pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2019 pada 23 November (esok).

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya memaklumkan kerajaan negeri telah berjaya mencapai sasaran membina 15 ribu rumah mampu milik sejak tahun 2016.

“Malah, hingga kini lebih 26 ribu rumah mampu milik sedang dibina dan siap dibina demi memenuhi keperluan penduduk Selangor.

“Ia membuktikan kerajaan negeri bukan hanya bercakap kosong tapi memastikan setiap rakyat dan warga yang tinggal di Selangor memiliki kemudahan perumahan.

“Kaedah pembiayaan yang akan diumumkan itu nanti akan menjadikan Selangor sebagai negeri pertama mampu menyediakan pakej hampir sempurna dalam menyediakan perumahan kepada rakyat,” jelasnya.

Tambah Amirudin, sasaran bagi enam tahun lagi adalah membina 30 ribu rumah mampu milik di bawah Dasar Perumahan Selangorku.

“Kerajaan Selangor bukan bertanggungjawab terhadap negeri ini sahaja, tetapi kesan dan impaknya kepada pencapaian kerajaan persekutuan dan negeri sekelilingnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Pembangunan Pangsapuri Kos Sederhana di Lot 69831 (PT6307), Batu Caves, di sini semalam.

Pembangunan bagi fasa 2A melibatkan pembinaan 340 unit pangsapuri 10 tingkat tiga blok A, B dan C.

Majlis pecah tanah tersebut bagi pembinaan blok A sebanyak 120 unit berkeluasan 850 kaki persegi yang mempunyai kemudahan surau, bilik urus mayat, dewan, pejabat pengurusan dan tadika.

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nor Azmie Diron, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datuk Seri Ahmad Omar.

-NAZ

Tinggalkan komen anda