Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Isu Papan Tanda: Kerajaan Negeri Junjung Kasih Titah Sultan Selangor

By 22 November 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri akur terhadap titah Sultan Selangor agar semua papan tanda jalan di negeri tersebut hanya menggunakan bahasa Melayu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyatakan pihaknya akan menurut perintah dan menjunjung kasih terhadap titah Sultan Selangor itu.

“Sebab itu kita perlu ada dasar yang jelas agar tidak ada ruang atau berlakunya perkara yang kurang sesuai.

“Saya telah arahkan Exco Kerajaan Tempatan untuk membuat satu kajian terperinci terhadap pelaksanaan papan tanda supaya kita dapat menyeragamkan dan dapat polisi yang jelas,” katanya.

Menurut Amirudin, setelah semakan dibuat perkara tersebut tidak pernah dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Keputusan itu bukan keputusan kerajaan negeri tetapi ia merupakan satu cadangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan pada tahun 2017.

“Perkara itu (papan tanda) telah dibawa dan dianggap sebagai satu dasar, lalu dilaksanakan,” jelas beliau.

Tambah Amirudin lagi, pihaknya bukan mencari kesalahan pihak tertentu tetapi menjelaskan sikap kerajaan negeri menjunjung kasih dan mengikut nasihat serta titah Sultan Selangor.

“Kita komited untuk membela dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” tegas Amirudin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Pangsapuri Kos Sederhana di Batu Caves, Gombak hari ini.

Baru-baru ini, Sultan Selangor menitahkan semua papan tanda jalan yang menggunakan dua bahasa di Shah Alam diturunkan dan digantikan dengan bahasa Melayu sahaja.

Menurut satu kenyataan setiausaha sulitnya, Mohamad Munir Bani, penukaran tersebut diharapkan dilaksanakan sebelum sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda