Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Sultan Selangor Menyempurnakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri

By 21 November 2018Tiada komen2 minit bacaan
Oleh : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

SHAH ALAM, 21 November (Malaysiaaktif) – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor bagi tahun ini berlangsung dengan meriah dan penuh bermakna apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk merasmikan sambutan pada kali ini bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.

“Kehadiran Islam yang dibawa oleh Rasulullah telah berjaya memecahkan tembok pemisah antara manusia dari segi agama, bangsa, harta dan juga pangkat” kata Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan kali ini, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya ketika sembah ucapan pada majlis tersebut.

“Baginda juga telah berjaya mentarbiahkan para sahabat agar saling mengasihi sehingga ke satu tahap yang tinggi dalam persaudaraan sesama umat”, tambah beliau lagi.

Amin turut mengingatkan umat Islam pada hari ini perlu menteladani ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah dengan bersikap terbuka serta menerima kepelbagaian dalam umat Islam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya ketika memberikan ucapan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya ketika memberikan ucapan.

Pemenang Kategori Surau Terbaik, Surau Al-Ikhwan, Taman Samudra, Batu Caves

Pemenang Kategori Surau Terbaik, Surau Al-Ikhwan, Taman Samudra, Batu Caves

“Baginda merupakan contoh terbaik kepada umat Islam dalam segala aspek kehidupan dan itu bertepatan dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Menyantuni Umat, Membawa Rahmat’, ujar beliau lagi.

Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi kategori yang dipertandingkan pada tahun ini. Bagi kategori Surau Terbaik Negeri Selangor telah dimenangi oleh Surau Al-Ikhwan, Taman Samudra, Batu Caves dan membawa pulang sumbangan berjumlah RM10,000, sijil penghargaan dan piala.

Bagi kategori Khatib Terbaik pula telah dimenangi Mohd Faisal Mohd Noor dari Masjid Bandar Tun Hussein Onn dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 serta sijil penghargaan.

Sambutan kali ini telah membabitkan seramai kira-kira 4,200 peserta daripada lebih 80 kontinjen yang menyertai perarakan pada kali ini dari pelbagai jabatan dan agensi. Perarakan pada tahun ini sejauh dua kilometer yang bermula di pintu gerbang Stadium Shah Alam dan berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam.

Turut hadir adalah Menteri Besar, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda