Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Bina Akhlak Peribadi Tinggi – Sultan Sallehuddin

By 21 November 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Noor Azian Saad (Kota Setar)

 

ALOR SETAR, 21 Nov (Malaysiaaktif) – “Dalam memperingati Maulidur Rasul atau hari kelahiran Baginda SAW, beta menyeru kepada umat Islam di negeri ini tanpa mengira pangkat dan darjat agar berusaha sedaya yang mungkin membina akhlak dan keperibadian  tinggi yang selayaknya dengan imej seorang yang bergelar muslim.

“Akhir-akhir ini kita acapkali diperlihatkan dengan perilaku-perilaku sumbang dan jauh daripada tauladan Rasulullah SAW.

“Keadaan seumpama ini jika dibiarkan berterusan boleh memusnahkan tatasusila individu dan jauh daripada nilai kesopanan yang murni,” titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di dalam majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, semalam.

Kemuliaan dan penghormatan satu-satu bangsa atau umat adalah kerana tinggi akhlaknya - Sultan Sallehuddin.

Kemuliaan dan penghormatan satu-satu bangsa atau umat adalah kerana tinggi akhlaknya – Sultan Sallehuddin.

Baginda turut mengingatkan kemuliaan dan penghormatan satu-satu bangsa atau umat adalah kerana tinggi akhlaknya.

“Dengan tema ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, beta ingin menarik perhatian hadirin sekalian supaya meneladani baginda Nabi Muhammad SAW yang sentiasa menunjukkan kesantunan yang tinggi dalam semua keadaan.

“Kesantunan bererti halus budi pekerti, berlemah lembut serta penuh dengan kesopanan,” titah baginda sultan.

Turut berangkat sama ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Darul Aman bagi tahun 1440 hijrah, bersamaan 2018 Masihi ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Temenggong Kedah, Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Majlis yang dihadiri seramai 500 jemputan yang terdiri dari pegawai-pegawai kanan jabatan negeri dan persekutuan ini turut dihadiri bersama-sama Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din dan Mufti Kedah, Datuk Mohd Syeikh Fadzil Awang.

Baginda turut menekankan agar para ibu bapa dapat memainkan peranan yang penting dengan memberi asuhan dan bimbingan serta pengawalan terhadap tingkah laku anak-anak mereka agar terhindar dari gejala salah laku seperti jenayah, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan sebagainya.

-SH

Tinggalkan komen anda