Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Jenayah Siber: Rangka Kerja Efektif Di Peringkat ASEAN

By 7 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

PUTRAJAYA, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Satu rangka kerja efektif perlu diusahakan di peringkat ASEAN bagi mewujudkan sebuah badan yang mampu bertindak sekiranya timbul ancaman mahupun jenayah siber merentas sempadan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo.

Ketika membuat pernyataan itu pada mesyuarat ASEAN TELMIN ke-18 (18th ASEAN Telecommunications and Information Technology Ministers Meeting) di Ubud, Bali, Indonesia semalam, Gobind menekankan kepada perlunya keadah-kaedah memperkukuh keselamatan siber yang melangkaui sempadan negara anggota ASEAN.

Pada mesyuarat itu, Gobind membangkitkan masalah jenayah siber yang sangat luas dan merentasi sempadan sesebuah negara dengan menggambarkan betapa luasnya jaringan capaian internet yang menghubungi seluruh dunia.

“Kemungkinan berlakunya permasalahan yang merentasi sempadan sesebuah negara itu perlu dilihat dengan serius, dan langkah-langkah untuk menanganinya di peringkat ASEAN haruslah dikaji dengan mendalam,” katanya dalam teks ucapan beliau yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini sempena penyertaan Malaysia ke mesyuarat ASEAN TELMIN itu.

Bertemakan “Aiming the Future of Digital Ecosystem for ASEAN Prosperity,” fokus mesyuarat pada kali ini adalah bagi memantapkan jalinan kerjasama negara-negara ASEAN ke arah pembangunan ekosistem digital akan datang.

Gobind memaklumkan bahawa fokus Malaysia adalah memperluaskan lagi rangkaian jalur lebar bagi memastikan negara bersedia menghadapi cabaran dalam dunia digital yang kini melanda seluruh dunia, khususnya dengan perkembangan revolusi perindustrian keempat (Industrial Revolution 4.0).

Beliau juga menegaskan perhatian yang serius perlu diberikan kepada aspek keselamatan siber.

“Justeru, kerjasama dan keutamaan perlu diberi penekanan oleh semua negara anggota ASEAN terhadap keselamatan siber bagi membina kepercayaan di kalangan pengguna dan peniaga terhadap ekosistem perniagaan dalam talian,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Gobind juga menyentuh tentang usaha-usaha yang perlu diambil untuk meningkatkan kualiti jalur lebar dari segi meningkatkan kelajuan serta mengurangkan harga internet yang dibekalkan.

“Perkara ini akan menjadi pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk turut serta dalam bidang perniagaan berteraskan internet seperti e-dagang.

“Keadaannya ini juga adalah sama di kalangan negara-negara ASEAN yang lain di mana akses kepada rangkaian internet dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat setempat,” katanya.

Mesyuarat ASEAN TELMIN merupakan wadah untuk menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) membincang dan menyuarakan pendapat serta pendirian negara masing-masing berhubung pembangunan ICT di rantau ASEAN.

Dalam pada itu, Malaysia muncul johan dalam pertandingan ASEAN ICT Awards 2018 (AICTA) bagi kategori Sektor Awam melalui projek e-Tanah.

Pengumuman pemenang AICTA itu dibuat pada ASEAN TELMIN Gala Dinner semalam. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda