Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Tun M Ziarah Jenazah Tan Sri Zainudin Maidin

By 15 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menziarahi jenazah tokoh kewartawanan dan bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Zainudin Maidin yang meninggal dunia petang semalam.

Beliau tiba di Surau At-Tarbiah, Taman Melawati lebih kurang 9.15 pagi dan meluangkan masa hampir 15 minit mengaminkan doa serta menemui ahli keluarga Allahyarham.

Zainudin Maidin atau lebih dikenali sebagai Zam, 79, meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira 6.20 petang semalam sebelum dibawa ke kediamannya di Presint 10, Putrajaya, malam tadi.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan 9 pagi sebelum dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Klang Gate kira-kira pukul 9.50 pagi tadi dengan kehadiran ahli keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan.

Turut hadir menziarahi Allahyarham adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo; bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan bekas Pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaafar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan orang ramai mengaminkan doa ketika menziarahi Allahyarham Tan Sri Zainudin Maidin di Surau At-Tarbiah, Taman Melawati, pagi tadi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan orang ramai mengaminkan doa ketika menziarahi Allahyarham Tan Sri Zainudin Maidin di Surau At-Tarbiah, Taman Melawati, pagi tadi.

Gobind ketika ditemui menyatakan pemergian Allahyarham Zam merupakan satu kehilangan yang besar untuk negara khasnya dalam bidang kewartawanan.

“Saya mewakili seluruh warga KKMM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Zainudin Maidin,” ucapnya ringkas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo turut hadir dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Zainudin Maidin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo turut hadir dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Zainudin Maidin.

Seorang rakan karib Allahyarham, Datuk Abdul Jalil Ali menyifatkan Allahyarham seorang guru yang banyak membentuk beliau dalam bidang kewartawanan ketika di Utusan Melayu sejak 1974.

“Ketika saya sertai Utusan Melayu, Allahyarham merupakan pengarang rencana yang mengajar saya ilmu kewartawanan dan kami berkawan sehingga kini walaupun beliau pernah menjawat jawatan Menteri.

“Beliau seorang yang sentiasa merendah diri walaupun berjawatan tinggi, suka menulis dan banyak kenangan manis saya bersama beliau,” katanya yang merupakan Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf.

-NAZ

Tinggalkan komen anda