Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Peruntukan RM400 Ribu Naik Taraf Surau Kampung Sungai Pusu

By 15 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Surau Kampung Sungai Pusu mendapat peruntukan berjumlah RM400,000 untuk kerja-kerja menaik taraf menerusi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia merangkap Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham memaklumkan surau kampung tersebut perlu dinaik taraf kerana telah uzur.

“Kampung Sungai Pusu merupakan antara kampung terawal dibuka di daerah Gombak dan suraunya dibina pada tahun 1965, namun struktur dan binaan kekal hingga kini walaupun pembangunan pesat kawasan sekitarnya.

“Saya maklumkan kepada Ketua Kampung agar menulis surat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk mendapatkan peruntukan,” jelas beliau.

Menurut Hilman, semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, beliau juga telah bangkitkan agar sebuah masjid dibina di kampung ini dan ia diluluskan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11).

Surau Kampung Sungai Pusu yang berusia 53 tahun bakal dinaik taraf selepas mendapat peruntukan berjumlah RM400,000.

Surau Kampung Sungai Pusu yang berusia 53 tahun bakal dinaik taraf selepas mendapat peruntukan berjumlah RM400,000.

“Namun begitu, sebelum masjid dibina, surau yang ada perlu dinak taraf memandangkan strukturnya yang uzur,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi surau, Amrun Shah Ishak, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyalurkan peruntukan bagi menaik taraf surau.

“Syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan peruntukan menaik taraf surau ini kerana telah lama kami impikan saat ini.

“Surau ini sering mengalami banjir kilat kerana kedudukannya lebih rendah daripada jalan, strukturnya pula telah uzur dan tidak mampu menampung jemaah yang semakin bertambah,” jelasnya.

Menurut Amrun lagi, surau tersebut yang telah berusia 53 tahun hanya mampu menampung lebih kurang 500 orang, namun akibat pembangunan kawasan sekeliling ianya meningkat lebih 700 orang.

“Jemaah sangat tidak selesa terutama semasa Solat Jumaat kerana penduduk dari perumahan sekitar seperti Taman Desa Gemilang dan Villa Bestari turut berjemaah di sini, keadaan melimpah hingga ke jalan raya.

“Jawatankuasa surau akan berbincang dengan ADUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), kemungkinan surau tersebut akan dibina baru memandangkan struktur yang uzur dan tapak perlu ditinggikan bagi mengelakkan banjir,” katanya.

Majlis penyampaian peruntukan disaksikan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sempena Program Jelajah Kembali Ke Sekolah anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) di Dewan Kampung Sungai Pusu, di sini semalam.

-NAZ

Tinggalkan komen anda