Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Bernama Hulur Sumbangan Untuk Rumah Bakti Darussalam

By 12 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid.Awang (Gombak)

GOMBAK, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menghulurkan sumbangan kepada penghuni Rumah Bakti Darussalam, Taman Gombak di sini hari ini.

Sumbangan tersebut sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Bernama Radio dan anak syarikatnya, Uxera Sdn Bhd berupa kelengkapan barangan sekolah dan wang tunai.

Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata, sumbangan tersebut bagi meringankan beban Rumah Bakti tersebut yang dikendalikan oleh tiga anak muda yang perlu dicontohi.

“Kita mempunyai platform media seperti radio dan televisyen untuk cuba membantu menghebahkan kepada orang ramai yang berkemampuan menyumbang kepada rumah ini.

“Saya akan mencadangkan agar Rumah Bakti Darussalam ini dijadikan ‘anak angkat’ kerana kami mempunyai 1000 kakitangan, jika setiap orang sumbang RM1 kita akan dapat kumpul RM1,000 derma sebulan,” jelas Azman.

Azman (kiri) bertanya khabar penghuni Rumah Bakti Darussalam di Taman Gombak, hari ini.

Azman (kiri) bertanya khabar penghuni Rumah Bakti Darussalam di Taman Gombak, hari ini.

Rumah Bakti Darussalam yang dibawah naungan Pertubuhan Pembangunan Insan Darussalam Malaysia dibuka awal 2018 setelah sebuah rumah teres diwakafkan pemiliknya di Taman Gombak.

Sumbangan tersebut diterima oleh Setiausaha Pertubuhan Pembangunan Insan Darussalam, Mohd Pitry Ibrahim.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama, Nurini Kassim; Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio, Azlan Idris dan CEO Uxera Sdn Bhd, Muniyati Muhamad.

Mohd Pitry ketika ditemui mengucapkan terima kasih atas sumbangan Bernama tersebut untuk membantu lapan orang penghuni bersekolah dan meneruskan kehidupan harian mereka.

“Kos operasi rumah kebajikan itu agak tinggi, kira-kira RM960 bagi seorang pelajar sebulan dan amat mengharapkan sumbangan orang ramai.

“Kami sangat berbesar hati sekiranya ada penglibatan badan-badan korporat yang sudi menjadi penaja tetap rumah bakti ini supaya kami dapat menjalankan aktiviti harian dengan lancar,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya sasarkan 15 orang penghuni menjelang bulan Mac walaupun permohonan yang diterima mencecah 60 orang setakat ini.

-NAZ

Tinggalkan komen anda