Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

“Kami berharap mereka dapat beribadah dengan sempurna”

By 30 Januari 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/Foto:Fauzrina Bulka/Azman Jumat(Kota Kinabalu)

Putatan, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Pengerusi Biro Kebajikan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datin Amnani Tansin Abdullah berharap mangsa kebakaran Kampung Pasir Putih dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari pada 11 Januari lalu, lebih 50 buah rumah musnah dijilat api sehingga mengakibatkan seramai 329 orang melibatkan 78 keluarga termasuk dua warga emas OKU tinggal sehelai sepinggang.

Amnani ketika melawat khemah solat yang disediakan kepada mangsa

Amnani ketika melawat khemah solat yang disediakan kepada mangsa

“Alhamdulillah untuk hari ini kami menyampaikan sedikit sumbangan daripada USIA pusat melalui Tabung Siti Khadijah kepada mangsa-mangsa kebakaran.

“Kami mengambil keputusan untuk memberikan wang tunai kerana jika dilihat barangan keperluan yang mereka terima sudah banyak.

Datin Amnani Tansin Abdullah

Datin Amnani Tansin Abdullah

“Jadi dengan sumbangan yang diberikan diharap dapat menampung keperluan-keperluan lain yang perlu dibeli dengan wang tunai.

“Apa yang kami utamakan ialah keselesaan mangsa-mangsa untuk mempunyai pakaian yang sempurna dan menutup aurat serta telekung yang cukup untuk beribadah dengan sempurna,” ujar Amnani.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah, Zainuddin Awang di Pejabat Daerah sambil diperhatikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Usia Negeri merangkap Ketua Wanita USIA Penampang, Nanih Abah dan ahli jawatankuasa USIA Negeri pada petang Selasa.

Dalam pada itu, mangsa-mangsa kebakaran juga mampu menarik nafas lega apabila bantuan khemah untuk solat telah disediakan untuk keselesaan mereka.

Menurut Ketua Kampung, Masdur Ali Akhbar sebelum ini mereka terpaksa menunaikan solat di atas pentas dewan dalam keadaan yang tidak selesa kerana barang sumbangan makanan dan pakaian juga ditempatkan di situ.

“Dengan itu, Sabtu lepas saya cuba hubungi pejabat Parlimen Putatan untuk memohon bantuan, lantas pada petang itu juga wakil Ahli Parlimen, Awang Husaini Sahari datang berikan khemah solat dan mandi serta tandas awam.

Lori yang membawa bekalan air bersih

Lori yang membawa bekalan air bersih

“Isteri kepada ADUN Putatan, Datuk Uda Sulai juga membekalkan kami sejadah dan karpet sebagai alas di dalam khemah.

“Alhamdulillah selama beberapa hari kami di sini sumbangan yang datang tidak putus-putus daripada agensi kerajaan dan swasta serta 22 buah masjid yang ada di sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Menurutnya, makanan yang disediakan memang mencukupi, cuma khemah yang dibekalkan hanya berukuran 8×8 dan tidak begitu menampung keluarga yang ramai hingga ada yang terpaksa tidur di atas pentas dan di luar dewan.

Suasana di dalam dewan yang menempatkan mangsa kebakaran

Suasana di dalam dewan yang menempatkan mangsa kebakaran

“Namun begitu, kami setiap hari dipantau oleh Jabatan Kesihatan dari segi masakan dan makanan serta kesihatan kami sendiri kerana memang lumrah tinggal di tempat begini pasti mudah diserang penyakit berjangkit.

“Justeru, setiap pagi kami akan pastikan lantai di mop dan sampah dikutip untuk mengekalkan kebersihan sebelum diambil oleh kakitangan Majlis Daerah Putatan.

“Kami sendiri tidak tahu sampai bila kami di sini, tetapi saya pasti kerajaan negeri sudah memikirkan cara untuk membantu kami dan kami pastinya mahu menduduki semula tapak rumah yang terbakar,” ujarnya.

Sukarelawan yang sedang mengagihkan bekalan untuk dimasak

Sukarelawan yang sedang mengagihkan bekalan untuk dimasak

Sementara itu, salah seorang mangsa, Serwin Lee, 18, berasa selesa dengan kemudahan yang disediakan kepada mereka selama hampir tiga minggu mereka ditempatkan semenjak kejadian berlaku. 

Berkongsi rasa, Serwin yang berbangsa Cina mengakui sudah membeli barangan persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut beberapa hari lagi tetapi tidak kesampaian.

“Barang-barang yang sudah dibeli termasuklah bahan dapur untuk memasak, hamper-hamper cabutan tiket bertuah untuk tetamu yang berkunjung serta perkakasan sistem audio untuk memeriahkan lagi suasana nanti.

Serwin ketika ditemui pemberita

Serwin ketika ditemui pemberita

“Tetapi semuanya habis hangus di dalam kebakaran dan tidak dapat diselamatkan, kecuali dokumen penting seperti surat lahir.

“Tetapi kami sudah merancang untuk menyambut Tahun Baharu ini di rumah saudara bapa saya di Inanam, sekurang-kurangnya dapat meraikan dan merasai sambutan itu,” katanya.

EM

 

Tinggalkan komen anda