Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Penternak Wanita Tidak Kisah Berlumuran Najis

By 24 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Sharul Effandi Yusof (Sik)

SIK, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Minat yang mendalam terhadap haiwan serta didorong rasa ingin mencuba sesuatu yang baharu mendorong Nurul Izati Baharom, 29, untuk menceburi bidang penternakan haiwan yang kebiasaannya didominasi oleh kaum lelaki.

Izati menjelaskan dia mula berjinak-jinak dalam bidang penternakan kambing sejak lima tahun yang lalu berbekalkan modal sendiri sebanyak RM800.

“Saya tidak kisah seharian berlumuran dengan kotoran dan najis kambing kerana minat dengan haiwan ini sejak dari kecil lagi. Jadi tidak timbul masalah apabila saya sendiri yang turun ke kandang untuk menjaga kesemua ternakan, termasuklah memberi makan serta membersihkan kandang,” katanya ketika ditemui di kandang kambing miliknya di Kampung Charok Puyuh, di sini semalam.

Anak bongsu daripada dua beradik ini juga mengakui tidak perlu malu untuk menceburi bidang penternakan sebagai punca rezeki memandangkan ia bukan sahaja mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW bahkan ia menjanjikan pulangan yang lumayan.

Izati sedikpun tidak merasa kekok melayan kambing-kambingnya seperti gadis lain kebiasaannya.

Izati sedikpun tidak merasa kekok melayan kambing-kambingnya seperti gadis lain kebiasaannya.

“Selain menjual kambing, kami turut menyediakan perkhidmatan sembelih, lapah dan mencincang kambing tersebut dengan kadar harga RM50 seekor,” katanya yang turut memudahkan penduduk tempatan mendapatkan bekalan kambing untuk pelbagai jenis majlis termasuklah aqiqah.

Izati yang kini memiliki lebih 30 ekor kambing daripada pelbagai baka berharap agar dapat meluaskan lagi perniagaan ini serta menjadi antara penternak kambing kampung yang berjaya di daerah ini.

“Selain daripada minat, kesungguhan dan kerajinan juga perlu seiring. Menternak haiwan tenusu seperti kambing ataupun lembu perlu penjagaan yang rapi agar kualiti haiwan tersebut berada pada tahap terbaik.

“Kambing-kambing ini akan diberi makan dua kali sehari iaitu rumput serta makanan konsentrat dalam bentuk palet atau dedak juga seharusnya diberi kerana ia sangat penting untuk penggemukan haiwan ternakan.

Sebahagian daripada ternakan kambingnya.

Sebahagian daripada ternakan kambingnya.

Selain kambing, Izati turut memelihara lembu, ayam serta itik di atas sebidang tanah milik keluarganya, dan usahanya turut mendapat perhatian daripada pihak jabatan veterinar daerah.

“Sekitar bulan Oktober yang lalu, saya dipanggil bagi menghadiri kursus anjuran Jabatan Veterinar. Bukan sahaja mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman bahkan saya semakin bersemangat untuk meluaskan lagi perniagaan ini.

“Memanglah ia di luar kelaziman apabila seorang gadis seperti saya bergelumang dalam bidang penternakan seperti ini, akan tetapi saya menganggap semua ini cabaran untuk saya lebih maju pada masa depan,” jelasnya lagi.

Izati turut berharap agar dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk menceburi bidang ini bagi menangkis stigma masyarakat bahawa penternakan hanya diceburi oleh golongan lelaki sahaja.

-SH

Tinggalkan komen anda