
Laporan/Foto oleh Zuriatina Tamat/ Afandi B. Abd Sukor (Tangkak)
TANGKAK, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Hampir RM20,000 dijana hasil projek kitar semula bahan-bahan terbuang Taman Muhibbah dan sekitarnya setelah lebih 10 tahun pelaksanaannya oleh Jawatankuasa Surau Al-Mahabbah, Taman Muhibbah, Serom, Tangkak
Dilaksanakan sejak tahun 2007, terkini projek ini mendapat sokongan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian untuk diangkat dan dijadikan projek printis di Daerah Tangkak terutama untuk diluaskan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekitar.
Dalam ucapan YAB Menteri Besar Johor semalam, beliau menyatakan, “Tangkak Green Dream – Community Initiatives boleh menjadi sebuah projek perintis kepada MPKK-MPKK lain seluruh Johor khususnya dalam mengerakkan masyarakat untuk menguruskan sampah sarap secara bersama sekali gus menjadikan kawasan kediaman dan alam sekitar keseluruhannya lebih baik.”
Tambah beliau lagi, “Cash from waste yang diusahakan melalui projek kitar semula ini telah menukar sampah sarap seperti kertas, logam dan plastik kepada wang tunai. Projek seperti ini wajar diberikan suntikan dengan penyertaan daripada pelbagai pihak secara maksimum. Oleh itu, RM30,000 akan diberikan untuk tambahan enam lagi projek seperti ini dapat dilaksanakan di dalam Daerah Tangkak.”
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Ir. Dr. Faizul Amri Adnan, beliau berhasrat membawa projek Green Dream Taman Muhibbah yang berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau untuk diluaskan ke DUN lain dalam Daerah Tangkak.
”Dengan tambahan dana yang diberikan oleh YAB Menteri Besar Johor, juga dari Ahli Parlimen Ledang, Exco Kesihatan dan saya sendiri, kita yakin sasaran pelaksanaan dua projek Green Dream untuk setiap DUN di dalam Parlimen Ledang dapat dicapai dalam masa terdekat. Insya-Allah sasaran enam projek tambahan ini akan dapat dicapai dan Tangkak akan ada tujuh projek sebegini termasuk projek printis di Taman Muhibbah ini pada masa akan datang.”
Pada masa sama, Menteri Besar Johor juga telah menyampaikan beg kitar semula yang telah dicetak oleh MPKK Taman Muhibbah kepada empat orang suri rumah sebagai simbolik golongan sasaran dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik untuk setiap isi rumah.