Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeNegeri Sembilan

Toleransi Kaum Tunjang Keamanan Negara

By 18 Februari 2019Tiada komen1 minit bacaan
Laporan/foto: Daniel Jong (Seremban)/ FB Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia

SEREMBAN, 18 Feb (Malaysiaktif) – Amalan toleransi kaum yang diamalkan rakyat negara ini adalah asas kepada keamanan Malaysia sejak awal lagi, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Persembahan kebudayaan.

Persembahan kebudayaan.

“Walaupun negara kita memiliki masyarakat berbilang kaum dan agama, namun rakyatnya tidak bermusuh sesama sendiri sebaliknya bekerjasama meraikan bersama hari kebesaran masing-masing,” katanya selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2019 Peringkat Kebangsaan di Dataran Centrio, Seremban Dua, malam tadi.

Tambah Mahathir lagi, kehadiran rakyat yang ramai pada majlis ini menunjukkan perasaan mesra dan rapat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, walaupun menganuti agama yang sama, rakyat kebanyakan negara lain tidak dapat hidup dengan aman kerana tiada sikap toleransi sehingga menyebabkan peperangan dan rakyatnya banyak yang menjadi korban dek kerana konflik yang tiada penghujung.

Orang ramai yang hadir pada malam perasmian.

Orang ramai yang hadir pada malam perasmian.

Selain itu, pelbagai makanan tradisional disediakan secara percuma kepada semua pengunjung yang hadir ke majlis itu. Pelbagai aktiviti termasuklah jualan rakyat, kaunter dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta persembahan artis terkenal turut diadakan.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi dan barisan exco kerajaan negeri.

 

-KN

Tinggalkan komen anda