Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

MB Selangor Rai Tahun Baru Cina, Kunjungi Rakan Aktivis

By 7 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkesempatan mengunjungi rakan-rakan aktivis sempena sambutan Tahun Baru Cina sekitar Batu Caves dan Selayang, hari ini.

Bermula di Taman Samudera Utara, Amirudin tiba jam 9.30 pagi bersama isteri, Masdiana Muhamad dan anak-anaknya untuk mengunjungi Naib Ketua Cabang PKR Gombak, Dave Lee Kean Aun.

Menteri Besar yang memakai baju tradisi Cina, Samfoo berwarna merah meluangkan masa hampir 20 minit bertanya khabar sambil menikmati kuih muih yang dihidang ahli keluarga Dave.

Seterusnya, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua ke rumah Ah Chai di Kampung Laksamana dan ke rumah Ah Lian di Selayang Baru.

Dave ketika ditemui terkejut apabila dimaklumkan Menteri Besar akan berkunjung ke rumah beliau kerana ia merupakan kehadiran kali pertama pemimpin tertinggi negeri Selangor itu.

“Saya sebenarnya sedang bersiap untuk balik ke Alor Setar untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama adik beradik yang lain.

“Kemudian saya dimaklumkan Menteri Besar mahu datang ke rumah saya. Jadi saya tangguhkah perjalanan saya. Mungkin esok saya balik Alor Setar,” katanya yang merupakan Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Samudera Utara.

Seorang lagi aktivis, Wong Ah Loy berkata, beliau gembira Amirudin dan keluarganya setiap tahun tidak pernah lupa untuk datang ke rumahnya setiap kali sambutan Tahun Baru Cina.

Tarian Singa turut dipersembahkan sempena kunjungan Menteri Besar Selangor di rumah rakan-rakan aktivis.

Tarian Singa turut dipersembahkan sempena kunjungan Menteri Besar Selangor di rumah rakan-rakan aktivis.

“Saya kenal beliau sejak tahun 2008 apabila menjadi wakil rakyat kawasan ini. Sejak itu beliau tidak lupakan saya walaupun saya bukan ada apa-apa jawatan pun.

“Tapi persahabatan kami masih kekal walaupun dia sudah jadi Menteri Besar Selangor. Dia seorang yang baik dan tidak lupa kawan-kawannya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Ah Cai.

Dalam program hampir tiga jam itu, Amirudin sempat singgah di rumah Datuk Raymond Ho di Taman Sri Melati untuk menikmati hidangan dan melihat persembahan Tarian Singa.

Amirudin dan tetamu yang lain juga berkesempatan mengaul dan makan Yee Sang, makanan tradisional masyarakat Cina sebagai lambang kesejahteraan dan panjang umur.

Ketika ditemui, Amirudin yang juga menyatakan aktiviti ziarah ke rumah aktivis-aktivis merupakam program tradisinya bagi meraikan Tahun Baru Cina.

“Ini program tradisi bersama masyarakat Tionghua sekitar Batu Caves dan Gombak untuk bertemu mereka, malah perayaan-perayaan kaum lain pun saya ziarah juga seperti Deepavali atau Krismas.

“Rakan-rakan aktivis ini banyak membantu saya di DUN Sungai Tua. Saya gembira kerana ramai yang bersama. Ia akan mengukuhkan muafakat dan perpaduan kaum,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda