Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Penjawat Awam Perlu Tinggalkan Perasaan ‘Selesa’ – MB

By 15 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid & Mohamad Zairin

BANDAR BARU BANGI, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Penjawat awam di Selangor diseru meninggalkan perasaan atau sentimen ‘selesa’ dalam diri yang akan menyebabkan mereka gagal melaksanakan tanggungjawab.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata di saat kerajaan mencatatkan pelbagai pencapaian yang membanggakan, perasaan tersebut akan menyebabkan penjawat awam lalai melaksanakan peranan yang diberikan.

“Harapan besar saya terutama kepada penjawat awam, agar dapat tinggalkan perasaan atau sentimen ‘selesa’, akhirnya lalai dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang diberikan kepada kita.

“Ingatlah, ini merupakan tugasan yang besar yang bakal memberi kesan kepada diri, keluarga malahan kepada negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Selangor tidak boleh gagal kerana ia akan memberi kepada pencapaian negara.

“Keadaan politik yang sangat baik, asas pembangunan yang ditinggalkan pemimpin sebelum ini, sudah pasti kita tidak mempunyai sebab untuk gagal.

Menteri Besar bersama kepimpinan negeri bergambar dengan ketua-ketua jabatan daerah Hulu Langat.

Menteri Besar bersama kepimpinan negeri bergambar dengan ketua-ketua jabatan daerah Hulu Langat.

“Kalau kita gagal, kebanyakannya disebabkan kegagalan atau kelalaian kita sendiri. Di sini (Selangor), berlaku sumber ekonomi dan bermula pembaharuan pembangunan,” katanya.

Jelas Amirudin, bagi memastikan penjawat awam di Selangor bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kerajaan negeri telah menubuhkan Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor.

“Institut (Pemberdayaan) Pekerja bukan hanya berkaitan isu kebajikan sebagaimana lazim tetapi menangani pesediaan penjawat awam berdepan limpahan IR4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan Pagi bersama penjawat awam sempena Program Jelajah Maju Bersama di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah Hulu Langat, di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Undang-undang Negeri Selangor, Datuk Masri Mohd Daud; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron; Orang Besar Daerah Hulu Langat, Datuk Tuan Abdul Jalil Ungku Abdul Rani dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman.

Daerah Hulu Langat merupakan daerah ketujuh daripada sembilan daerah yang telah melaksanakan Program Jelajah Maju Bersama yang dimulakan September tahun lalu.

Sempena program yang berlangsung sehari di daerah ini, Menteri Besar turut mengadakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kenduri rakyat, penyerahan sumbangan serta lawatan ke tapak Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Semenyih.

Selain itu, majlis penyerahan bangunan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Batu Tiga, penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan dialog bersama pemimpin masyarakat daerah Hulu Langat.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda