Skip to main content
HomeSabah

Penugasan Tentera Darat Akan Diselaras Elak Pertindihan – Zamrose

By 9 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/ Foto: Asmidar Zainol/ Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Penugasan Angkatan Tentera Darat di bahagian timur Sabah akan diselaraskan bagi mengelak pertindihan tugas.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata penyelarasan itu akan diperincikan di antara agensi-agensi terlibat.

“Di bahagian Timur Sabah ada pelbagai agensi keselamatan, tetapi ia tidak didefinisikan dengan betul.

Zamrose (tengah) berbual mesra dengan Shafie (kanan) sambil disaksikan oleh Mohamad Khir (kiri).

Zamrose (tengah) berbual mesra dengan Shafie (kanan) sambil disaksikan oleh Mohamad Khir (kiri).

“Jadi, kita akan cuba buat penugasan lebih terperinci supaya tiga operasi berasingan iaitu Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Persisiran Pantai dan Pasir Utara dan Selatan tidak mendatangkan sebarang salah faham di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), ESSCOM dan ATM.

“Sebenarnya tiada masalah (penugasan) pada masa sekarang, cuma kita mahu penambahbaikan supaya dapat mengelak dari berlaku kecelaruan tugasan,” jelas beliau.

Zamrose semasa ditemu bual media.

Zamrose semasa ditemu bual media.

Tambah Zamrose, terdapat perancangan untuk menambah rondaan kawalan persempadanan di Kalimantan, walau bagaimanapun ia perlu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) oleh Menteri Pertahanan Malaysia dan Menteri Pertahanan Indonesia.

Zamrose ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di sini, baru-baru ini.

Kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan Shafie mengenai pelantikannya berkuat kuasa 2 November lalu menggantikan Datuk Stephen Mundaw yang bersara wajib.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut adalah  Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 13 Briged ESSCOM, Brigedier Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Panglima Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah.

EM

Tinggalkan komen anda