Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

PRK Semenyih: Pertandingan Empat Penjuru

By 16 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang

KAJANG, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas.

Pegawai Pengurus PRK N.24, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, beliau telah menerima kertas penamaan daripada empat calon dan tiada borang pencalonan yang ditolak.

“Mereka yang telah mengemukakan kertas-kertas penamaan adalah daripada Muhamad Aiman (PH) pada jam 9.03 pagi, Zakaria Hanafi (BN) pada 9.05 pagi, Nik Aziz Afiq (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas) pada 9.10 pagi.

“Saya telah semak kertas-kertas penamaan dan selepas selesai disemak, saya berpuas hati. Tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya di pusat penamaan calon PRK N.24 di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian, di sini hari ini.

PH meletakkan Aiman Zainali, 30, sebagai calon yang merupakan Bendahari PPBM Bahagian Hulu Langat yang juga menantu Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

BN pula mempertaruhkan Zakaria Hanafi, 58, seorang pesara dan anak tempatan Semenyih yang banyak terlibat dalam aktiviti masyarakat.

Sementara itu, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, seorang usahawan muda mengendalikan pusat urutan sendiri akan bertanding mewakili PSM.

Manakala, Kuan Chee Heng, 55, aktivis masyarakat yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ turut bertanding sebagai calon Bebas menggunakan logo telefon.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diadakan selepas kematian penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang mewakili PPBM-Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Bakhtiar menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz (BN), Mad Shahmiour Mad Kasim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM).

PRK DUN Semenyih yang mempunyai 54,471 pengundi merupakan PRK keempat diadakan di negeri Selangor selepas Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

-NAZ

Tinggalkan komen anda