Skip to main content
HomeTerengganu

24 Hari Tanpa Hujan

By 11 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Norhafizah Abd Rahim (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 11 Mac  (Malaysiaaktif) – Cuaca panas yang melanda negeri Terengganu sejak beberapa minggu yang lalu boleh menyebabkan berlakunya kebakaran hutan paya gambut dan jerebu seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Walaupun keadaan cuaca di negeri Terengganu masih di tahap normal dengan purata suhu adalah 32.5 darjah celcius, menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu (JAS), Zakaria Ahmad@Mohd, taburan hujan yang berkurang menyumbang kepada cuaca panas yang melanda negeri.

Menurut beliau lagi, sehingga kini daerah Kemaman telah mencatatkan tempoh yang lama ‘tanpa hujan’ iaitu 24  hari, diikuti  daerah Kuala Terengganu dan Dungun selama 12 hari manakala daerah Hulu Terengganu mencatatkan 11 hari tanpa hujan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu (JAS), Zakaria Ahmad@Mohd

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu (JAS), Zakaria Ahmad@Mohd

“Lazimnya apabila cuaca terlampau panas akan berlakunya peningkatan kes kebakaran hutan secara semulajadi terutamanya di kawasan hutan dan  tanah gambut,” katanya.

“Namun begitu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat ini masih diparas sederhana berdasarkan dapatan diperolehi setiap hari daripada empat stesen di negeri ini iaitu masing-masing Kuala Terengganu mencatatkan bacaan (55),  Besut (54) Kemaman (53) manakala Paka mencatatkan bacaan 37 yang dikategorikan sebagai baik.”

Beliau berkata lagi, bagi mengatasi masalah pencemaran udara akibat dari kebakaran hutan, JAS Terengganu dan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu membina telaga tiub dan  mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran bagi membina hadangan bagi melembabkan kawasan tanah gambut. Sekiranya terdapat keperluan memadamkan kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan mengepam air daripada telaga tiub dan keberkesanan projek ini telah diakui oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam mengurangkan kebakaran di tanah gambut.

Pada masa yang sama, penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Operasi Statik Kenderaan bermotor dari semasa ke semasa dilakukan bagi memantau pelepasan gas hidrokarbon dan karbon monoksida oleh kenderaan bermotor. Orang ramai juga diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka, mengamalkan kitar semula dan laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku pembakaran terbuka.

Kompaun maksimum RM2,000 setiap kesalahan denda RM500 ribu atau Penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. Orang ramai boleh mengetahui status bacaan IPU terkini dengan memuat turun aplikasi MyIPU menerusi Play Store.

EM

Tinggalkan komen anda