Skip to main content
Berita UtaraHomePerlis

Masyarakat Perlu Cakna Amalan Kesihatan

By 12 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Sufian Kamarudin/Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Masalah kesihatan bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit dan ahli keluarga, malah turut memberi kesan terhadap masyarakat, produktiviti serta ekonomi negara. Saban tahun kerajaan memperuntukan sejumlah wang yang besar bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah kerajaan mungkin terpaksa membina lebih banyak hospital sebagai satu kemudahan rawatan kepada para pesakit yang kian meningkat sekiranya perkara ini tidak diatasi segera.

Rakyat harus memastikan kesihatan diri dan keluarga berpanjangan - Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Rakyat harus memastikan kesihatan diri dan keluarga berpanjangan – Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

“Kita tidak mahu rakyat Malaysia khususnya di negeri ini menderita dengan pelbagai penyakit terutamanya disebabkan oleh amalan hidup tidak sihat seperti pemakanan tidak seimbang dan tinggi kandungan garam, gula, lemak, makanan ringan yang mempunyai banyak bahan pewarna, pengawet, makanan proses, amalan merokok, minuman keras, penagihan najis dadah, tekanan yang tidak terkawal dan sebagainya.

“Penyakit yang diakibatkan oleh amalan hidup tidak sihat ini sebenarnya boleh dicegah dan dilakukan pada peringkat awal lagi,” titah baginda ketika mencemar duli berangkat merasmikan Program Karnival Hidup Aktif (WALK) Peringkat Negeri Perlis 2019 di Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Perlis, Behor Pulai, di sini baru-baru ini.

Baginda turut menekankan walaupun semua pihak sentiasa memberikan penekanan kepada aspek promosi dan pencegahan kesihatan, namun sambutan yang diberikan oleh rakyat untuk mengamalkan amalan hidup sihat masih pada tahap yang kurang memuaskan.

Antara acara menarik yang dilaksanakan semasa program berlangsung.

Antara acara menarik yang dilaksanakan semasa program berlangsung.

“Pesakit diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi memerlukan rawatan seumur hidup selain pesakitnya berhadapan komplikasi seperti angin ahmar, kegagalan fungsi buah pinggang, saluran jantung tersumbat dan juga buta,” titah baginda lagi.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahren Akshah Khalil, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan beberapa orang ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Baginda turut meminta masyarakat supaya mengambil contoh dan inspirasi daripada masyarakat Jepun terutamanya dalam cara mereka memelihara kesihatan diri. Orang Jepun bukan saja terkenal dengan sikap berdisiplin, malah rakyat Jepun diketahui seluruh dunia mengamalkan pola pemakanan sihat serta bergerak aktif.

Kempen WALK yang diadakan ini bertepatan dengan hasrat Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memastikan masyarakat dunia khususnya rakyat Malaysia aktif dalam mencegah penyakit berkaitan penyakit tidak berjangkit. WALK merupakan payung kepada pelbagai inisiatif hidup aktif Kementerian Kesihatan Malaysia amnya dan Jabatan Kesihatan Perlis khasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda