Skip to main content
HomeJohor

PERHILITAN Johor Rampas Haiwan Dilindungi Bernilai RM130 Ribu

By 11 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Mohd Zahid Othman & Mohd Suhazli Nordin/Azizan Md. Sidi (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak enam spesies hidupan liar berjaya dirampas oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor dalam satu serbuan di sebuah premis kediaman di Kampung Bukit Gelugor, Sungai Rengit, Kota Tinggi, baru-baru ini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah PERHILITAN Johor, Mohammad Khairi Ahmad, pihaknya juga telah menahan seorang lelaki berbangsa Cina dan empat orang lelaki berbangsa Melayu yang telah ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memiliki hidupan liar tanpa sebarang dokumen atau kebenaran dari Jabatan PERHILITAN.

Burung Sulfur Crested Cockatoo mempunyai permintaan tinggi untuk dipelihara sebagai haiwan peliharaan

Burung Sulfur Crested Cockatoo mempunyai permintaan tinggi untuk dipelihara sebagai haiwan peliharaan

“Hasil pemeriksaan mendapati penemuan tiga ekor ayam uutan, sembilan ekor burung Sulfur Crested Cockatoo, empat ekor burung Electus Parrot, tiga ekor burung Palm Cockatoo, tujuh ekor burung Cenderawasih dan 171 ekor burung Murai Batu yang dianggarkan bernilai lebih RM130 ribu,” katanya.

Menurut Khairi, mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 60 dan Seksyen 68 kerana memiliki hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan jika disabit kesalahan boleh didenda antara RM50 ribu hingga RM100 ribu atau dipenjarakan antara tempoh dua tahun hingga tiga tahun.

PERHILITAN Johor akan terus komited dan proaktif menumpaskan sindiket penjualan dan pemburu haram hidupan liar di Semenanjung Malaysia – Mohammad Khairi Ahmad

PERHILITAN Johor akan terus komited dan proaktif menumpaskan sindiket penjualan dan pemburu haram hidupan liar di Semenanjung Malaysia – Mohammad Khairi Ahmad

“Pihak jabatan akan memastikan mereka ini dikenakan tindakan tegas dan dihadapkan ke muka pengadilan dan kami akan terus komited dan proaktif dalam mengesan dan menumpaskan sindiket penjualan dan pemburu haram hidupan liar di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, orang ramai juga digalakkan untuk terus memberikan sokongan dan menjadi mata serta telinga Jabatan PERHILITAN dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan menerusi talian hotline PERHILITAN di 1-800-88-5151 atau membuat aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.

EM

Tinggalkan komen anda