Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Bantuan Segera Untuk Mangsa Ribut

By 29 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut di kawasan Gombak menerima bantuan segera yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata mereka yang terlibat berjumlah 47 orang daripada 13 keluarga menerima bantuan makanan, khemah, selimut serta keperluan asas lain.

“Selain itu, pihaknya melalui JKM akan menilai kerosakan rumah-rumah mangsa sebelum menyalurkan bantuan membaiki rumah daripada kerajaan persekutuan.

“Mereka akan berada di penempatan sementara ini untuk beberapa hari dan saya percaya akan ada lagi mangsa yang akan mendaftar di sini.

“Kami juga akan menghantar pegawai psikologi untuk bantuan kaunseling mangsa yang trauma dengan kejadian ini. Terdapat juga mangsa yang mengandung tujuh bulan,” katanya.

Hannah Yeoh dan Muhammad Hilman diberikan taklimat mengenai keadaan mangsa ribut ketika meninjau pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak.

Hannah Yeoh dan Muhammad Hilman diberikan taklimat mengenai keadaan mangsa ribut ketika meninjau pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli, Batu 12 Gombak bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Hilman berkata tindakan pertama pihaknya adalah memastikan perhubungan jalan untuk sampai ke kawasan tersebut dapat dibuka memandangkan banyak pokok tumbang dalam kejadian itu.

“Kerajaan negeri Selangor turut memberi komitmen untuk membaiki atau membina semula kediaman mangsa yang terjejas akibat bencana terbabit.

“Tiga buah kampung yang terjejas iaitu Kampung Sungai Chinchin, Kampung Sungai Pusu dan Kampung Gombak Utara. Ini merupakan kejadian pertama seumpamanya berlaku di kawasan ini,” katanya.

Menurut beliau, dalam kejadian tersebut lapan orang cedera termasuk dua dalam keadaan kritikal dan telah dihantar ke hospital.

“Dua mangsa kritikal adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 31 tahun akibat terkena renjatan elektrik. Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Selayang,” jelasnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, hujan lebat dan ribut menyebabkan Pusat Penyayang Raudhah di Batu 11 Gombak dihempap pokok menyebabkan lapan orang termasuk kanak-kanak cedera.

-NAZ

Tinggalkan komen anda