Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

RM192,750 Naik Taraf Pusat Tahanan Haiwan MPS

By 29 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Selangor meluluskan peruntukan berjumlah RM192,750 untuk menaik taraf Pusat Tahanan Haiwan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang terletak di Taman Industri Integrasi Rawang.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata peruntukan kewangan tersebut meliputi kos membaik pulih kemudahan dan fasiliti serta pembelian peralatan yang diperlukan.

“Pusat tersebut berkeluasan 0.5 ekar telah dibina pada tahun 2008 sebagai pusat tahanan kawalan anjing dan kucing liar serta binatang ternakan berkeliaran seperti lembu dan kambing.

“Semalam EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung, Ng Sze Han turun padang membuat tinjauan dan meluluskan peruntukan berjumlah RM192,750,” katanya.

Ng Sze Han melihat lembu terbiar yang disimpan di Pusat Tahanan Haiwan MPS semasa meninjau pusat tersebut semalam.

Ng Sze Han melihat lembu terbiar yang disimpan di Pusat Tahanan Haiwan MPS semasa meninjau pusat tersebut semalam.

Menurut beliau, EXCO Selangor itu mencadangkan agar Pusat Tahanan Haiwan MPS itu diubah suai menjadi sebuah pejabat yang mempunyai ruang menunggu untuk dijadikan Pusat Setempat bagi Program Adopsi Haiwan Terbiar.

“MPS mempunyai Program GIDOP (Gift & Adopt) bagi orang ramai yang ingin menghantar haiwan-haiwan peliharaan dan terbiar.

“Program ini juga membolehkan orang ramai untuk membela haiwan-haiwan seperti kucing dan anjing tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap selepas ini masyarakat tidak membuang atau melepaskan haiwan-haiwan peliharaan di kawasan awam.

“Diharapkan masyarakat tidak melepaskan atau membuang haiwan-haiwan peliharaan di kawasan awam, sebaliknya disarankan agar menyerahkan kepada Unit Kawalan Haiwan, MPS,” ujar beliau.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS, Affendei Samingan serta ahli-ahli Majlis MPS.

-NAZ

Tinggalkan komen anda