Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Cabaran 24 Jam Promosi Pengangkutan Awam

By 18 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto : Farhana Azlin Lajis/Saiful Haidar Salleh (Langkawi)

LANGKAWI, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Setelah dilepaskan pada 16 Mac lalu di KL Sentral, 15 pasukan yang berentap dalam Pertandingan Cabaran 24 Jam (24 Hours Challenge #funtasticLIMA’19) dengan jayanya menghabiskan cabaran itu dan tiba di Langkawi semalam di titik semak terakhir di sebuah hotel, di sini semalam.

Cabaran 24 jam itu julung kali diadakan oleh Kementerian Pengangkutan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA’19).

Selain daripada mempromosikan LIMA’19, pertandingan ini juga diadakan bagi menanam minat orang awam untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan Malaysia, Syed Nasir Syed Ahmad menyatakan bahawa penganjuran LIMA’19 kali ini merupakan pertunjukan terbesar di rantau Asia Pasifik yang berimpak tinggi yang memaparkan pertunjukan di sektor penerbangan antarabangsa, aeroangkasa, pertahanan maritim dan komersial serta pertahanan dari seluruh dunia tetapi khusus diberi perhatian kepada Asian.

“Untuk pertandingan ini, penglibatan daripada orang awam amat perlu bagi membuktikan bahawa pengangkutan awam yang mereka naiki sepanjang pertandingan ini adalah selesa.

“Dalam mewujudkan sistem pengangkutan yang lengkap, kerajaan mensasarkan sistem pengangkutan yang cekap dan mudah untuk diakses sejajar dengan pembangunan negara,” katanya semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan 24 Hours Challenge #funtasticLIMA’19.

Pemenang pertandingan Kelvin Khew Le Man, 29, berkata pertandingan ini mempunyai masa yang cukup terhad, iaitu 24 jam sahaja dan perlu menaiki pelbagai mod pengangkutan awam untuk sampai di Langkawi.

“Jadi kami cuba pelbagaikan mod tersebut seperti menaiki LRT dari KL Sentral ke Pasar Seni, kemudian menaiki MRT kembali ke KL Sentral untuk menaiki Skybus ke KLIA2.

“Dari KLIA2 kami mengambil penerbangan ke Alor Setar dan mengambil kesempatan untuk singgah di Menara Alor Setar, dan kami sempat untuk menaiki feri yang terakhir iaitu pukul 7.00 malam,” katanya.

Pasangan beliau, Suhaini Rosyaidah Omar, 26, berkata Kelvin yang merancang perjalanan dan memastikan mereka dapat merakam momen-momen terbaik sepanjang pertandingan tersebut.

“Saya hanya ambil gambar dan video serta muat naik dalam media sosial. Kemudian edit gambar dan video tersebut,” jelas Suhaini.

Mereka yang tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut dan berasa bersyukur dapat menyertai program tersebut dan seterusnya dapat mempromosikan perkhidmatan pengangkutan awam yang terdapat di Malaysia sama ada di darat, udara mahupun di laut.

-SH

Tinggalkan komen anda