Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomePerak

IKRAM Teluk Intan Dekati Masyarakat

By 18 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Mohd Ali Hanafiah Mohd Khairi (Teluk Intan)

TELUK INTAN, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Karnival Keselamatan Kenderaan dan Kesihatan Komuniti anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Teluk Intan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Klinik Kesihatan Teluk Intan, dan Pemuda GEMA Perak membuktikan keterlibatan agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Menurut Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Teluk Intan, Noor Jannati Omar tujuan utama karnival ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kepada IKRAM dalam mengenali warga Teluk Intan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat serta membuka ruang untuk memperkenalkan Islam secara mendalam dan menyeluruh.

“Program ini menjadi platform untuk membawa mesej-mesej kebaikan ke arah kesejahteraan komuniti setempat,” katanya ketika ditemui di Karnival Keselamatan Kenderaan dan Kesihatan Komuniti, di Dataran Menara Condong, di sini baru-baru ini.

Selain pendaftaran keahlian Pertubuhan IKRAM dan Pemuda GEMA Perak, karnival ini turut menyokong Kempen Perak Bebas Asap Rokok (PerBAR).

Orang ramai yang berhasrat berhenti merokok akan diberi bimbingan dan panduan oleh sukarelawan PerBAR di kaunter yang disediakan.

Karnival ini turut menyajikan pertandingan permainan atas talian yang kian popular, Players Unknown Battleground, atau dikenali sebagai PUBG.

Pelajar jurusan Akuakultur, Kolej Vokasional Teluk Intan, Farisa Soleha Mohd Arfaa, 19, berkata permainan ini dapat mengasah pemikiran strategik serta mampu membentuk semangat berpasukan dalam kalangan pemainnya.

“Saya berharap banyak lagi aktiviti menyeronokkan seperti permainan dalam talian ini diketengahkan agar dapat menarik minat golongan muda untuk menyertai program kemasyarakatan pada masa akan datang,” kata Farisa.

Sementara itu, Penolong Setiausaha IKRAM Teluk Intan, Afifah Che Embi berkata, pihaknya telah merancang agar program karnival ini diteruskan di kawasan lain bagi menyebarluaskan manfaat pelaksanaannya.

Kempen PerBAR & Saringan Kesihatan ini akan diadakan di Masjid As-Saadah Kg Bahagia, dan Madrasah Ahmadiah, Perumahan Awam Padang Tembak, masing-masing pada 23 Mac dan 30 Mac ini.

-SH

Tinggalkan komen anda