Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

MRA Raikan 10 Tahun Perjuangan

By 18 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/ foto: Pai Syahira Yahya (Pahang)

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 60 peserta dari seluruh Malaysia dan luar negara menghadiri Konvensyen Kebangsaan Malaysian Relief Agency (MRA) selama tiga hari bermula 15 Mac lalu bertempat di The Zone, Kuala Lumpur.

Bertemakan “Meraikan Satu Dekad Perjuangan”, MRA mengorak langkah dengan perbincangan hala tuju, visi, perjuangan dan perancangan setiap misi kemanusiaan dalam dan luar negara.

Presiden MRA , Dr. Mohd Daud Sulaiman berkata, “Konvensyen yang diadakan pada kali ketujuh ini diadakan bertujuan menyelaras sesi pembentangan projek setiap sayap negeri dan luar negara bagi memperkemas aktiviti kemasyarakatan yang mampu memberi impak jangka panjang.”

Menurut Dr. Daud, peranan MRA dalam badan bukan kerajaan (NGO) bukan sahaja  telah mengharumkan nama Malaysia di mata dunia tetapi turut aktif memberi fokus dalam  bantuan misi kemanusiaan kepada masyarakat tempatan.

“MRA membawa nama Malaysia apabila membantu mengurus bencana di luar negara dan dalam masa yang sama membantu aktiviti kemasyarakatan dalam negara seperti komuniti orang asli, golongan miskin bandar, pendidikan masyarakat pelarian, musibah dalam negara seperti banjir dan bantuan perubatan kepada golongan asnaf,” tambah beliau.

Bermodalkan sumbangan berbentuk sebuah meja dan kerusi, set komputer beserta sumbangan RM 20000 pada 1 Mac 2009 MRA kini giat menjalankan aktiviti kemasyarakatan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Johor, Sabah, Sarawak dan Yaman.

Setelah 10 tahun ditubuhkan, MRA mempunyai aset bernilai RM 1.2 juta untuk pengurusan misi dan lebih daripada RM 18 juta telah disalurkan bantuan dalam semua misi kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam dan luar negara.

Sehingga kini, hampir 3000 sahabat MRA terdiri daripada pelbagai bangsa dari Malaysia dan antarabangsa telah mendaftar sebagai ahli serta melatih lebih 1000 sukarelawan melalui modul terpilih mengikut fasa yang diaturkan.

Penglibatan MRA di peringkat antarbangsa melayakkannya menerima pelbagai pengiktirafan seperti  ‘United Nation Economic Social Consultation Council’  dan ‘World Humanitarian Summit ‘ sejak tahun 2014 apabila organisasi ini terlibat aktif membicarakan tentang isu sosial dan ekonomi di New York.

Selain itu, dana kecemasan berjumlah RM 10,000 telah disampaikan kepada Malaysian Relief Agency (MRA) Johor bagi membantu mangsa persekitaran tercemar yang terlibat ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

“MRA juga telah menghantar bantuan awal pengedaran makanan kepada petugas awam dan sukarelawan serta pasukan perubatan dan sokongan logistik untuk bekerjasama dengan agensi dalam memberikan bantuan,” kata Presiden yang menyatakan Pasukan MRA sudah siap siaga dengan arahan evakuasi.

Dalam majlis penutup konvensyen, simbolik sesi penyerahan turut diadakan bagi menyerahkan dua jenis topeng muka iaitu 200 keping R95 serta 15 keping R7502 pula jenis respiratori silikon beserta katrij yang bernilai RM 15 dan RM 150 setiap satu.

Selain itu, program ‘trauma healing‘ turut diadakan untuk memberi kaunseling dan semangat kepada semua mangsa yang terkesan dengan insiden di Pasir Gudang.

Barisan peserta Konvensyen Kebangsaan MRA yang berlangsung selama tiga hari di The Zone, Kuala Lumpur.

-KN

Tinggalkan komen anda