Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

CSR Sumbang RM30,000 Kepada Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur

By 23 Mac 2019Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan/foto : Kyadizah Abd Hamid/Syaiful Harif Adnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Pengeluar gula, Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) menyerahkan bantuan berjumlah RM30,000 dari dana Zakat Wakalahnya kepada penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CSR, Hishammudin Hasan, sumbangan berupa makanan, minuman, kelengkapan peribadi dan lain-lain keperluan asas kepada 200 penghuni PTGKL merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat.

“Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, CSR sentiasa prihatin kepada keperluan dan masalah yang dihadapi oleh komuniti terutama berhubung isu gelandangan.

Antara penghuni PTGKL yang hadir.

Antara penghuni PTGKL yang hadir.

“CSR akan berusaha menyalurkan bantuan dan sumbangan yang bersesuaian, juga meninjau peluang untuk bekerjasama dengan pusat-pusat latihan tempatan yang bertauliah bagi membolehkan penghuni PTGKL mempelajari kemahiran vokasional supaya mereka berupaya mendapat pekerjaan yang baik untuk kehidupan mereka,” katanya pada majlis penyerahannya, di sini malam tadi.

CSR juga menyediakan perkhidmatan gunting rambut oleh penghuni Rumah Anak-anak Yatim Kasih Harmoni, Paya Jaras secara percuma kepada para penghuni PTGKL.

Selain sajian makan malam bersama penghuni PTGKL, CSR juga menyerahkan sumbangan bantuan bulanan berbentuk gula pasir CSR bagi penyediaan makanan dan minuman di PTGKL.

Turut hadir di majlis penyerahan tersebut ialah pegawai dari Lembaga Zakat Selangor Abdul Basith Hamid, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Darul Ehsan Nur Mohd Razali Abdullah serta wakil PYGKL Izzul Haziq.

-SH

Tinggalkan komen anda