Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Dewan KESEDAR Jelawang Diserbu lebih 700 Orang

By 22 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto : Mohd Zulfadli Ab Hamid / Suhaimi Nik Wil ( Kuala Krai )

KUALA KRAI, 22 Mac ( Malaysiaaktif ) – Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai dengan kerjasama KWSP Kuala Krai telah mengadakan satu program yang dinamakan ‘Program Pencernaan Minda’ dengan membuka kaunter pendaftaran i-SURI di Dewan Pejabat KESEDAR Jelawang, Dabong, pada 19 Mac lalu.

Program yang bermula sejak pukul 9.00 pagi ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk sekitar DUN Dabong dan lebih 700 orang menghadirinya.

Program i-SURI yang telah diperkenalkan oleh kerajaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat di negara ini dan menunjukkan kerajaan semasa tidak mengabaikan rakyat dan berusaha untuk membantu rakyat terutama mereka yang memerlukan.

Kaunter i-SURI jadi tumpuan hadirin

Kaunter i-SURI jadi tumpuan hadirin

Program sebegini perlu diadakan selalu terutama di kawasan pedalaman bagi memudahkan penduduk setempat membuat pendaftaran i-SURI tanpa perlu ke Pejabat KWSP yang terletak di Pekan Kuala Krai.

Menurut salah seorang penduduk Rufaiza Kamaruzzaman, 39, program seperti ini sangat baik dan wajar diteruskan. Saya dan kawan-kawan sangat teruja untuk datang ke program ini kerana bukan senang untuk kami penduduk sekitar dabong pergi ke Pekan Kuala Krai bagi membuat pendaftaran i-SURI.  Sebelum ini saya kurang jelas mengenai i-SURI ini tetapi hari ini saya sudah faham tentang program ini.” Ujarnya yang menetap di Kg Kemubu.

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan, Lim Ann Teck, program ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat luar bandar berkenaan dasar-dasar kerajaan semasa hari ini.

Kerjasama yang baik dari pihak KWSP, kepimpinan masyarakat tempatan dan NGO memudahkan kami Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan untuk mengadakan program sebegini dan usaha ini perlu ditingkatkan dari masa ke semasa agar rakyat akan terus mendapat faedah melalui program-program jabatan.

Ucapan perasmian Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Lim Ann Teck

Ucapan perasmian Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Lim Ann Teck

“ Amalan turun padang agensi dan jabatan kerajaan seperti ini sangat penting bagi memberi kefahaman kepada rakyat secara komunikasi bersemuka yang memang merupakan tugas dan tanggungjawab Jabatan Penerangan sejak dahulu lagi. “ Ujarnya semasa memberi ucapan perasmian sebentar tadi.

Menurut Pegawai KWSP Daerah Kuala Krai, Nur Mohd Chairil Azizi Saiful, program ini turut memberi kemudahan kepada pihak KWSP sendiri dalam usaha membantu rakyat membuat pendaftaran i-SURI dan juga i-SARAAN.

Rakyat yang ingin mendaftar i-SURI perlu mendaftar e-Kasih terlebih dahulu tetapi pada hari ini, penduduk sekitar DUN Dabong cukup bertuah kerana orang ramai bukan sahaja boleh mendaftar i-SURI dan i-SARAAN, malah dapat terus membuat pendaftaran e-Kasih. Kami membuka kaunter pendaftaran e-Kasih yang dikelolakan sendiri oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan.“ Ujarnya semasa ditemubual.

Menurut Setiausaha Persatuan Permata Dabong, Mohd Afiq Noh, Program begini patut diluaskan penganjurannya di kawasan-kawasan pedalaman yang lain kerana masih ramai masyarakat belum memahami tentang i-SURI dan i-SARAAN ini.”

Program yang berlangsung sehingga pukul 5.00 petang ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk sekitar
Dun Dabong.

Selain kaunter dari pihak KWSP, program ini turut menyediakan Kaunter Rebat 40 TNB, Kaunter e-Kasih JPP, Kempen Derma Darah dari Hospital Kuala Krai dan kaunter pendaftaran peserta Giat Mara bagi memberi perkhidmatan kepada seluruh penduduk dan orang ramai.

– NAZ

Tinggalkan komen anda