
Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad
KUALA NERUS, 6 Mac 2019 (Malaysia Aktif) – Bermula awal Mac hingga akhir April setiap tahun, udang geragau atau lebih dikenali dengan udang baring di kalangan penduduk tempatan mula membanjiri kawasan pesisir pantai Terengganu.
Kesempatan ini diambil oleh nelayan untuk menangkap udang geragau di kawasan pesisir pantai menggunakan jaring atau pukat.
Udang geragau yang berwarna putih dan menjadi merah apabila dijemur, dijual oleh nelayan kepada pengusaha hasil laut di sekitar kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir di sini untuk dijadikan udang kering dan belacan.
Seorang pengusaha hasil laut, Saleha Mat Ali berkata, “musim udang geragau memberi pendapatan tambahan kepada kami.”
“Udang segar dihantar oleh nelayan dan akan dijemur di bawah sinaran matahari yang terik,” ujar Saleha yang mengusahakan perniagaan tinggalan arwah bapa bersama adiknya, Mohd Helmi Sharif, 17, di kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir.
Seorang pekerja, Mohd Zuki Mohd Awing berkata, dia dibantu empat pekerja lain akan berada di kawasan jemuran agar udang itu tidak dipijak atau dirosakkan oleh binatang seperti kucing dan ternakan lain.
“Masa untuk menjemur udang antara tiga dan empat jam bergantung kepada keadaan cuaca. Kesempatan musim panas ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memproses udang dan hasil laut lain,” tambahnya.
“Udang geragau yang kering akan dibungkus dan dihantar ke pasar sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan jualan secara borong berharga RM25.00 sekilogram,” ujarnya lagi.
Selain udang kering, Saleha dan pengusaha laut lain kebanyakannya turut memproses bilis, belacan dan ikan kering.
EM