
Laporan/Foto:Asmidar Zainol (Kota Kinabalu)
Kota Kinabalu, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri memperkasa kebudayaan kaum Murut dengan menjadikan 31 Mac sebagai tarikh sambutan tahunan Pesta Kalimaran.
Pengerusi Jawatankuasa Induk pesta berkenaan, Datuk Peter Anthony berkata kerajaan kini serius untuk mengangkat martabat semua kaum di Sabah dengan memberikan komitmen sepenuhnya kepada aspek pemeliharaan budaya dan tradisi.
“Kita dapati sejak dianjurkan pada tahun 2003, Pesta Kalimaran seakan tidak dapat diuruskan secara konsisten.
“Sama seperti Pesta Kaamatan, Tahun Baru Cina, Hari Raya, kita perlu meraikan pesta ini untuk memberi penghormatan kepada kaum Murut di negeri ini.
“Justeru, buat kali pertamanya, kita memutuskan 31 Mac sebagai tarikh sambutan setiap tahun memandangkan sebelum ini ia dirayakan tanpa tarikh yang tetap,” jelasnya.
Tambah Peter, pesta kali ke-16 itu akan bermula pada 26 hingga 31 Mac dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom.
“Sambutan pada tahun ini secara sederhana tetapi meriah dengan jangkaan lebih 10 ribu pengunjung tempatan dan luar daerah,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Akhir Pelaksana di pejabatnya, baru-baru ini.
Antara aktiviti yang telah dirancang adalah pameran rumah-rumah tradisi sub etnik Murut, upacara tolak bala, konsert Kalimaran, pertandingan Butitin, pertandingan Kalawon Kalimaran, pertandingan Lalaing Matalur Kalimaran, perarakan kebudayaan dan banyak lagi.
Dalam pada itu, para pengunjung yang ingin bermalam sempena pesta itu dinasihat membuat tempahan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Urusetia di Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Hadir sama pada mesyuarat tersebut adalah Pengerusi Bersama Sambutan, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Mansur Asun dan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Tenom, Sungkim Rumangun.