
Laporan/Foto: Syarqawi Rambli/Majlis Tindakan Bencana Daerah
Beaufort, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki tempatan yang hilang selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai ketika memancing di tebing Sungai Padas dekat sini, ditemui lemas pagi tadi.
Mengikut kenyataan saksi dalam kejadian kira-kira 9 malam semalam, mangsa, Romy Appellera, 40, dari Kampung Jempangah, di sini, dikatakan memancing bersama beberapa rakan sejak lewat petang sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Pihak bomba menerima panggilan 9.08 malam tadi berhubung kejadian itu sebelum menghantar sepasukan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian, selain dibantu anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh anggota bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain turut disertai anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada 11.59 malam berikutan keadaan gelap sebelum bersambung semula pada 8 pagi tadi.
Mayat mangsa ditemui pada 11.38 pagi oleh anggota penyelamat ketika menjalankan operasi pencarian di sekitar kawasan dia dilaporkan hilang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Hasbullah Nenggok, berkata mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.