Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

13 Mangsa Ribut Gembira Dapat Rumah Baharu

By 13 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 13 mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut yang melanda Gombak Utara baru-baru ini, melahirkan rasa gembira menerima kunci rumah baharu mereka.

Seorang penerima, Amirah Ariffin, 53, melahirkan rasa syukur dan gembira apabila ditawarkan kediaman baharu setelah rumah yang didiami selama 25 tahun itu disahkan tidak selamat.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada wakil rakyat dan kerajaan Selangor yang berusaha membantu kami mendapatkan kediaman baharu dalam tempoh yang cepat.

“Rumah saya disahkan berada dalam kawasan berisiko dan diminta agar berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.

Jelasnya yang merupakan seorang suri rumah, beliau sebenarnya tidak menjangka akan ditawarkan rumah baharu namun atas keperihatinan wakil rakyat dan kerajaan Selangor beliau ditawarkan secara sewa beli.

Muhammad Hilman (tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah baharu kepada salah seorang mangsa bencana ribut Gombak Utara.

Muhammad Hilman (tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah baharu kepada salah seorang mangsa bencana ribut Gombak Utara.

Seorang lagi penerima, Salimah Bahari, 52, berkata beliau sangat berterima kasih atas komitmen wakil rakyat dan kerajaan Selangor yang menguruskan rumah baharu tersebut.

“Perasaan saya sangat gembira dan rasa syukur setelah ditawarkan rumah baharu kerana kediaman saya musnah keseluruhan dalam kejadian tersebut.

“Pejabat YB (Yang Berhormat) yang mengurus dan memudahkan proses mendapatkan rumah baharu ini. Terima kasih banyak-banyak,” katanya yang tinggal di situ sejak lahir dalam nada sebak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata seramai 13 keluarga menerima rumah baharu mereka melalui konsep ‘Rent to Own’ dengan sewa bulanan RM250 tanpa deposit selama empat tahun.

“Mereka bersetuju untuk berpindah setelah kediaman mereka musnah atau berada dalam zon tidak selamat, ditawarkan sebuah rumah yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta wang tunai RM3,000.

“Dalam masa empat tahun mereka akan ditawarkan rumah tersebut dan jumlah sewaan akan dianggap sebagai deposit pembelian rumah tersebut.

“Baki bayaran rumah berkeluasan 700 kaki persegi berharga RM42,000 yang perlu dilunaskan hanya lebih kurang 50 peratus sahaja,” katanya.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sejumlah RM150,000 dibelanjakan dalam bentuk sumbangan kepada mangsa-mangsa bencana ribut yang kali pertama berlaku.

“Seramai 141 keluarga yang kediaman mereka rosak menerima RM500, manakala 40 keluarga menerima RM1000 dan 19 keluarga lagi menerima RM3000,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Sumbangan Ehsan dan Kunci Kediaman Baharu Kepada Mangsa Bencana di Masjid Zakaria, Gombak Utara, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Abdul Rahim Kasdi.

-NAZ

Tinggalkan komen anda