Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Enam KMKK Terima Watikah, Tingkat Mutu Khidmat Rakyat

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SIMANGGANG, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai enam Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima watikah pelantikan dan penyambungan perkhidmatan bagi memastikan penyampaian maklumat serta dasar kerajaan terus dilaksanakan secara berkesan.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata KMKK merupakan penghubung penting yang perlu proaktif dalam membantu menyelesaikan isu masyarakat serta memastikan inisiatif pembangunan sampai kepada komuniti.

“Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat.

“Mereka perlu memainkan peranan secara proaktif dalam menyampaikan dasar kerajaan, membantu menyelesaikan isu masyarakat serta memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat disampaikan dengan berkesan kepada komuniti,” katanya ketika menyempurnakan majlis berkenaan, kelmarin.

Menurut Francis, KMKK juga berfungsi sebagai saluran komunikasi dua hala dalam menyampaikan maklumat dan mengenal pasti keperluan penduduk di peringkat akar umbi.

Beliau berharap agar kesemua yang dilantik dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh integriti serta berpandukan garis panduan yang ditetapkan.

Pada majlis tersebut, jawatan yang diberikan melibatkan seorang Penghulu Kaum Iban bagi kawasan bidang kuasa Bandar Simanggang, manakala lima lagi merupakan Ketua Kaum yang menerima lantikan baharu dan penyambungan perkhidmatan.

Penerima watikah ialah Biju Anggat (Penghulu Kaum Iban Bandar Simanggang), Edmond Antain (Tuai Rumah Kampung Sungai Reboh, Undop), Mambu Ranggau (Tuai Rumah Kampung Guntong Simpang), Siti Zahrina @ Diana Abdullah (Ketua Kampung Kampung Perumahan Rakyat Sri Aman), Ahmad Alwi Kipli (Ketua Kampung Kampung Harmoni Sri Aman) dan Gani Sujang (Tuai Rumah Kampung Sungai Tenggak A, Undop).

Dalam majlis sama, Francis turut menyampaikan cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Daerah Sri Aman bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kelab berkenaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda