
Laporan/foto: Noorayah Ganipin/Fadzlee Ibrah (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Penyertaan kira-kira 70 buah gerai dan pameran termasuk agensi kerajaan jelas menunjukkan program berskala kecil masih mampu membuka ruang dan peluang untuk menjana pendapatan sampingan selain memudahkan urusan dengan agensi yang berkaitan.
Menurut Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Nor Azri Zulfakar tujuan utama Hari Terbuka Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS) adalah sebagai medium untuk memperkenalkan jabatan kerajaan yang terdapat di dalam KPKPS kepada orang awam.
“Sekaligus ia untuk mengeratkan hubungan antara penjawat awam yang bekerja berlainan jabatan selain hubungan dengan orang awam melalui kaunter pameran jabatan kerajaan yang terpilih.
“Dalam masa yang sama, konsep ini juga mampu menjana pendapatan sampingan melalui gerai jualan Pre-loved yang turut disertai oleh penjawat awam dan orang luar.
Tambahnya juga, melalui program seumpama ini, kita dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan dan agensi kerajaan.
“Hal ini adalah bersangkutan dengan komitmen kita untuk memastikan rakyat dapat berinteraksi dan bertanya terus kepada agensi yang terlibat kerana ia merupakan suatu manifestasi keperihatinan kita dalam membantu pelanggan terhadap perkhidmatan yang kita berikan kepada mereka.
“Dalam erti kata lain, mekanisme ini merupakan satu pendekatan yang holistik kerana menawarkan perkhidmatan melalui interaksi dan perhubungan yang mesra, telus, cekap dan mencapai sasaran mempertingkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.
Nor Azri turut berkongsi perancangan jangka masa panjang untuk mewujudkan suasana dan nafas baharu terhadap KPKPS dengan pembinaan sport’s point meliputi kompleks A,B dan C.
“Ia untuk memudahkan penjawat awam melakukan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum dan selepas waktu bekerja.
“Hal ini adalah untuk memastikan penjawat awam mengutamakan aspek kesihatan selain memupuk budaya bekerja yang sihat.
“Selain itu, gerai jualan mingguan melibatkan peniaga kecil dan FAMA akan diteruskan untuk membuka ruang dan peluang di kompleks ini bagi mewujudkan suasana harmoni selain memberi pendapatan tambahan,” ujarnya lagi.
Antara yang terlibat dalam pameran ialah daripada Jabatan Pendaftaran, Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sabah dan Jabatan Penerangan Sabah.
Pelbagai agensi termasuk agensi swasta dan syarikat telekomunikasi juga turut diberi peluang untuk bersama memeriahkan program.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Norzawiyah Bulka yang sempat meluangkan masa bersama-sama untuk memeriahkan program.