Skip to main content
HomeJohor

Kerajaan Sedia Bantu Peniaga dan Golongan Memerlukan

By 7 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 2,000 orang membanjiri Pusat Perniagaan MS Cahaya Parit Raja, Batu Pahat Johor sempena perasmian Karnival Parlimen Sri Gading 1.0 kelmarin.

Karnival dijalankan bersempena pembukaan semula tapak pusat perniagaan tersebut setelah ditutup sejak bulan Jun tahun lalu.

Seramai 250 keluarga dari Mukim Sri Gading, Mukim Linau dan Mukim Tanjung Sembrong yang berada di dalam Parlimen Sri Gading menerima bantuan Rice4U yang merupakan bantuan beras dan barang keperluan dapur.

Sementara itu, seramai 33 orang Ketua Kampung dan lima orang Ketua Masyarakat dari Parlimen Sri Gading turut diraikan dan menerima sumbangan komputer riba serta mesin cetak untuk memudahkan kerja pengurusan di kampung masing-masing.

Pengunjung yang hadir bersama-sama memeriahkan majlis perasmian karnival Parlimen Sri Gading 1.0

Pengunjung yang hadir bersama-sama memeriahkan majlis perasmian karnival Parlimen Sri Gading 1.0

Karnival diadakan bertujuan membantu meningkatkan ekonomi di kawasan daerah dengan memperbanyakkan tapak perniagaan kepada usahawan-usahawan serta mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim antara penduduk serta wakil-wakil rakyat di Parlimen Sri Gading.

EXCO Pendidikan dan Agama Islam Negeri Johor merangkap ADUN Parit Yani, Aminolhuda Hassan turut menekankan tentang kepentingan perniagaan kerana perniagaan adalah salah satu daripada perkara yang sinonim dalam kehidupan manusia.

“Kami akan mengembangkan lagi urusan perniagaan ini di peringkat kerajaan negeri serta membuka peluang kepada pelabur dari luar negara memulakan perniagaan di negeri Johor dalam industri halal.

“Industri halal berkembang dengan pantas maka sebagai orang Islam dan Melayu, kita jangan ketinggalan untuk sama-sama bersaing walaupun perniagaan dimulakan secara kecil-kecilan,” ujarnya semasa berucap.

Manakala Pengarah Program merangkap Wakil Rasmi Ahli Parlimen Sri Gading, Noor Khalim Sakib pula berkata kerajaan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada para usahawan selain menyediakan seminar dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) untuk membantu mereka dari segi kewangan iaitu pinjaman maksimum sebanyak RM 10,000 yang akan diluluskan secepat mungkin mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Ketua-ketua kampong bergambar kenangan bersama ADUN Pt. Yaani selepas menerima bantuan komputer riba

Ketua-ketua kampong bergambar kenangan bersama ADUN Pt. Yaani selepas menerima bantuan komputer riba

Bagi Ketua Masyarakat Parit Buloh, Chow Wong Fan, 50, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh kerana menyumbangkan mesin cetak dan komputer riba bagi memudahkan urusan pentadbiran kampung serta memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Salah seorang peniaga, Siti Irdina Sumarti, 38 ketika ditemui berkata bahawa mereka sangat gembira dan bersyukur kerana pihak kerajaan telah membantu membuka semula tapak perniagaan di kawasan itu.

“Saya berharap usaha pihak kerajaan ini dapat dikekalkan pada masa hadapan bagi menarik lebih ramai pengunjung,” ujarnya.

Penerima bantuan Rice4U, Faridah Hamid, 32, berharap agar usaha sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Pelbagai aktiviti disediakan seperti pameran dari agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan street soccer dan lain-lain lagi yang berlangsung pada 4 April sehingga 13 April ini.

Salah seorang peniaga Siti Irdina Sumarti 38, ditemui semasa Karnival turut merasa gembira dengan pembukaan semula tapak perniagaan tersebut

Salah seorang peniaga Siti Irdina Sumarti 38, ditemui semasa Karnival turut merasa gembira dengan pembukaan semula tapak perniagaan tersebut

Turut hadir pada majlis ialah Penghulu Mukim Sri Gading, Mohamed Salleh Pandak; Penghulu Mukim Linau, Mohamad Azri Tresno; Penghulu Mukim Tanjung Sembrong, Mohammad Azar Aziz; Ketua-Ketua Kampung dan Ketua-Ketua Masyarakat di Parlimen Sri Gading.

EM

Tinggalkan komen anda