
Laporan/foto: Juslie Bacle/ Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KUNDASANG, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku peringkat Negeri Sabah anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam diri pelajar.
Pengerusi Lembaga Koko Malaysia merangkap Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin berkata program yang dilaksanakan di Pusat Latihan Belia, Kundasang itu menerapkan nilai-nilai murni melalui gaya hidup berkualiti.
“Semangat kenegaraan dan jati diri ini perlu disuburkan kerana kepimpinan negara bergantung pada generasi muda dan para pelajar masa kini memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan negara kita.
“Program seumpama ini dilihat antara medium bagi memupuk jati diri yang setia, berani dan sanggup berkorban untuk negara serta memperkasakan semangat perpaduan dalam kalangan peserta tanpa mengira bangsa dan agama.
“Oleh yang demikian, saya menyeru agar para pelajar bijak menapis maklumat kerana ancaman dari luar pastinya meneroka segala peluang yang terbuka bagi menimbulkan syak wasangka dan memecahbelahkan perpaduan dari dalam terutamanya melalui generasi muda kita,” katanya dalam majlis penutupan kem tersebut, petang Selasa.
Seramai 58 orang pelajar dari empat buah sekolah menengah sekitar daerah Ranau dan Kundasang menyertai Kem Aspirasi Kelab Malaysiaku peringkat Negeri Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 April.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka berkata penganjuran program berkenaan merupakan perkongsian pintar atau Smart-Partnership bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
“Antara objektif program ini adalah untuk menjadi salah satu saluran komunikasi dalam membentuk minda pelajar melalui pengisian program yang berbentuk ceramah dan gerak kerja latihan dalam kumpulan.
“Kita bukan sahaja melibatkan KPM dan sekolah, tetapi turut menjemput jabatan dan agensi kerajaan yang relevan dengan konsep program. Pada kali ini, kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.